Artikel

Safawi Mahu Jadi Seperti Tabata Dan Nakajima

Penyerang skuad kebangsaan, Safawi Rasid menjadikan dua bekas pemain Portimonense SC iaitu Bruno Tabata dan Shoya Nakajima sebagai contoh ikutannya untuk beraksi dalam saingan Liga Portugal.

Segala pengalaman yang dimilikinya ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), T-Team FC dan skuad kebangsaan akan dicurahkan sepenuhnya agar dapat menyamai tahap permainan yang pernah ditunjukkan oleh kedua-dua pemain tersebut.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Terdahulu, Safawi diperkenalkan secara rasmi oleh pengerusi ahli lembaga pengarah kelab, Rodiney Sampaio dalam satu sidang media di Stadium Portimao, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini turut diumumkan memakai nombor kegemarannya iaitu 29 – sama seperti yang dipakainya ketika bersama skuad Harimau Selatan.

“Saya akan berikan yang terbaik untuk Portimonense, tak sabar (rasanya) untuk beraksi bersama kelab, saya berharap dapat menyumbang sesuatu,” 

“Saya tahu ramai pemain daripada Portimonense pergi ke kelab-kelab besar seperti Tabata, Shoya Nakajima dan saya di sini untuk tunjukkan segala yang saya miliki untuk menjadi sama seperti mereka.” katanya dalam sidang media.

https://www.youtube.com/watch?v=K_vKMXj8xu8&t=169s

Bruno Tabata merupakan penyerang sayap yang sering beraksi di bahagian kanan sama seperti Safawi Rasid. Bersama Portimonense SC, Tabata berjaya melakukan 118 penampilan dan menjaringkan 8 gol serta 25 bantuan gol. Ketika ini, Tabata merupakan pemain pasukan Sporting CP.

Manakala Shoya Nakajima pula merupakan pemain lincah di bahagian serangan. Digelar sebagai ‘Japanese Magician’ dan bermain ala-ala Lionel Messi, Nakajima mencipta nama bersama Portimonense SC selama hampir dua musim sebelum berhijrah ke kelab gergasi Portugal, FC Porto.

Sementara itu, Safawi turut menjawab soalan yang dikemukakan oleh wartawan Portugal mengenai posisi yang boleh dimainkannya. Katanya, “saya boleh bermain (pelbagai) posisi menyerang tetapi sebagai penyerang utama (kurang sedikit),”

Untuk makluman, Safawi ditandatangani oleh Portimonense SC selama semusim secara pinjaman daripda JDT namun kelab Portugal itu mempunyai pilihan untuk membelinya secara tetap pada penghujung musim.

komen