Artikel

Sanusi Pernah Bermain Bola Sehingga Peringkat Daerah Dan Negeri

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Noor berkongsikan semasa zaman remajanya bahawa beliau pernah terlibat dalam sukan bola sepak sehingga ke peringkat negeri.

Selain daripada sukan bola sepak, Sanusi merangkap Menteri Besar Kedah turut bergiat aktif dalam beberapa sukan yang lain seperti ragbi, kriket, sepak takraw dan olahraga.

Namun demikian, beliau mengakui walaupun bergiat aktif sebagai ahli sukan tetapi pengalamannya dalam mentadbir organisasi atau persatuan sukan sangatlah sedikit.

Disebabkan itu, beliau kekal dengan keputusan untuk berundur daripada tampuk kepimpinan utama bola sepak Kedah setelah selesainya hutang piutang yang ditanggung KFA dianggarkan berjumlah RM14 juta (sebelum ini dianggarkan hanya berjumlah RM10.6 juta).

“Daripada awal saya (bersama) KFA ni saya maklum saya pandai main bola, saya pernah main sampai peringkat daerah dan peringkat negeri,

“Selain daripada main bola, saya main ragbi, main kriket dan semua sukanlah termasuk takraw peringkat negeri dan olahraga.

“Mungkin saya tak sesuai untuk mentadbir persatuan sukan, tapi ada sedikit pengalaman, masih lagi belajar. Tapi bila Kedah hadapi masalah hutang, itu lebih jadi keutamaan,” kongsi Sanusi dalam satu sidang media, semalam.

Sanusi berkata pengundurannya daripada kerusi Presiden KFA akan berkuatkuasa pada 15 oktober 2020 namun ianya bergantung kepada KFA samada menerima atau menolak perletakan jawatannya.

“Saya dah hantar surat hasrat meletakkan jawatan presiden KFA, berkuatkuasa pada 15 oktober kerana (tarikh itu) merupakan sasaran akhir saya selesaikan hutang. 

“Saya telah cari penaja, saya telah cari rakan-rakan yang sudi untuk membantu KFA selesaikan masalah ini, menjelang 15 oktober saya sasarkan semuanya selesai dan boleh serah kepada orang yang lebih layak.” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai nama dan logo baharu bagi pasukan Kedah selepas menjalani proses penswastaan, Sanusi berkata perkara itu masih boleh diubah dengan memaklumkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan akan diadakan pertandingan mereka cipta logo baharu untuk pasukan Kedah selepas daripada ini.

Featured Image: Warta Kedah

komen