Written by 11:27 am Lain-Lain

BAM Buat Kursus Bimbingan Media Sosial Kepada Pemain Badminton Negara

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal mengadakan beberapa kursus dan program dalaman buat pemain-pemain badminton negara sepanjang oktober dan november ini.

Antara kursus yang dirancang oleh persatuan tersebut adalah pengendalian media sosial yang betul dan efektif supaya memberi nilai tambah kepada setiap atlet.

Selain itu mereka turut bercadang untuk memberikan bimbingan mengenai percukaian dengan memanggil pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesemua kursus dan program ini akan dijalankan dalam tempoh dua bulan ini memandangkan tiada sebarang kejohanan antarabangsa sehingga hujung tahun ini.

“Banyak program yang akan kita laksanakan untuk pemain dan kebanyakan aktiviti diadakan pada Oktober dan November. 

“Pada Disember, fokus adalah terhadap latihan kerana kita mahu pemain berada pada tahap terbaik apabila kejohanan kembali bermula pada Januari tahun depan.

“Kita akan manfaatkan sepenuhnya tempoh masa yang ada ini. Kita akan buat latihan mental dan beberapa kursus dalaman.

“Contohnya, seperti bagaimana pemain mahu menggunakan media sosial mereka dengan betul dan lebih efektif. 

“Selain itu, kita juga akan menjemput wakil daripada pihak LHDN bagi menerangkan mengenai cukai pendapatan dan sebagainya.

“Sebelum ini, kita tidak boleh buat program-program seperti ini kerana pemain sibuk menyertai kejohanan di luar negara. Jadi, kita akan manfaatkan masa yang ada ini,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Untuk rekod, kali terakhir pemain-pemain badminton negara menyertai kejohanan antarabangsa adalah pada mac lalu dalam saingan All England sebelum semua kejohanan ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Featured Image: BAM

(Visited 20 times, 1 visits today)
Close