Artikel

Bekas Penyerang Brazil, Robinho Kini Dibayar Gaji Sekitar RM1100 Sebulan

Bekas penyerang skuad kebangsaan Brazil, Robson de Souza atau lebih dikenali sebagai Robinho kini hanya dibayar gaji sekitar RM1100 sebulan bersama kelab baharunya, Santos FC.

Penyerang berusia 36 tahun itu diperkenalkan secara rasmi pada ahad lalu sebagai pemain baharu Santos FC dan menandatangani kontrak selama lima bulan bersama kelab yang beraksi dalam saingan Liga Brazil itu.

Beliau kembali menyertai kelab remajanya sebagai ejen bebas selepas membantu pasukan berpangkalan di Liga Turki, Istanbul Baseksehir FK memenangi saingan liga pertama musim lepas.

“(Santos) sentiasa menjadi rumah saya. Matlamat saya adalah untuk membantu (Santos) di dalam dan luar padang, dan menjadikan Santos FC kembali ke kedudukan tertinggi, di mana (kelab) tempat saya tidak patut tinggalkan.”

“Sangat bagus dapat kembali ke kelab yang membentuk saya dalam karier bola sepak. Inilah tempatnya saya membesar. Saya sentiasa impikan menjadi pemain bola sepak dan Santos FC yang merealisasikannya.” katanya dipetik daripada kenyataan rasmi kelab.

Untuk makluman, nilai sebulan gajinya iaitu R$1500 (RM1117.15) hanya melebihi sedikit nilai gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan Brazil pada tahun 2020 iaitu R$1039 (RM773.81).

Selain bersama Santos FC sejak zaman remajanya sehingga tahun 2005 sebelum berhijrah ke Real Madrid, Robinho pernah kembali menyarung jersi Santos FC sebanyak dua kali sebagai pemain pinjaman.

Pertamanya pada tahun 2010 ketika dipinjamkan oleh Manchester City, manakala kali keduanya adalah pada tahun 2014 sehingga tahun 2016 dipinjamkan oleh kelab Itali, AC Milan.

Featured Image: Santos FC

komen