Artikel

Tempa Nama Dahulu, Barulah Pihak Penaja Datang Mencari – Azizulhasni

Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang berkata atlet-atlet tempatan perlu menempa nama dengan memenangi beberapa kejohanan besar terlebih dahulu sebelum dapat ‘memancing’ penajaan daripada pihak swasta.

Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai Jijoe berkata pada awal pembabitannya dalam sukan berbasikal, dia juga bergelut untuk mendapatkan penajaan daripada pihak swasta untuk mengembangkan kariernya.

Namun demikian, setelah sekian lama berkecimpung dalam sukan berbasikal trek, Jijoe semakin memahami bagaimanapun industri sukan di Malaysia bergerak sekaligus dapat ‘memancing’ beberapa pihak untuk mendapatkan penajaan.

“Bercakap soal penajaan, saya juga menghadapi masalah sama di awal karier tapi selepas memahami bagaimana industri sukan di Malaysia ini bergerak, ia memudahkan sedikit sebanyak pergerakan karier saya.

“Sebagai contoh, untuk mendapat penajaan dari pihak swasta, seseorang atlet harus mempunyai keputusan cemerlang terlebih dahulu.

“Jadi pada waktu itu saya berlatih dan berusaha keras sehingga memenangi banyak kejohanan besar dan menempa nama di arena sukan negara dan selepas itu pihak penajaan datang mencari saya,” kata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu seperti dipetik daripada Harian Metro

Mengimbau kenangan di zaman remajanya, Jijoe berusaha mengumpul wangnya sendiri untuk membeli barangan basikal bagi memenuhi hobinya. 

“Saya tidak pernah meminta duit dari ibu bapa untuk hobi lumba basikal, malah saya bekerja dengan bapa saudara saya di kedainya bagi mengumpul wang bagi membeli barangan basikal,” katanya lagi.

Untuk rekod, sejak menjadi pelumba basikal trek negara, Jijoe telah memenangi pingat emas Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017, pingat gangsa Sukan Olimpik 2016, pingat emas Sukan Asia 2010 dan beberapa kejuaraan lagi.

Featured Image: UCI

komen