Written by 3:40 pm Bola Sepak, Malaysia

Nidzam Jamil Belum Sedia Kemudi Pasukan Selangor

Jurulatih muda dan berbakat, Nidzam Jamil mengakui belum bersedia untuk mengemudi pasukan Selangor bagi saingan Liga Super musim hadapan.

Bekas pemain Selangor sekitar awal 2000-an ini merupakan nama yang disebut-sebut dalam kalangan peminat untuk menggantikan B. Satiananthan yang dipecat baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nidzam tidak mahu mengulas panjang mengenai ‘cakap-cakap’ tersebut kerana menghormati kontraknya bersama Felda United sehingga hujung musim ini.

Pada masa yang sama, Nidzam beranggapan pasukan seperti Selangor layak mendapat bimbingan jurulatih yang jauh lebih berpengalaman berbanding dirinya yang masih baru.

“Dalam era sekarang ini, orang boleh bercakap mengenai pelbagai perkara tetapi saya tidak nampak benda itu (ke Selangor) dalam masa terdekat. Karier saya masih lagi jauh dan saya baru berusia 40 tahun.

“Saya sudah merasai naik turun dalam dunia bola sepak dan dalam bidang kejurulatihan ini, tidak ramai yang berdepan penyingkiran dan kekal dalam liga seperti yang sudah saya rasakan.

“Apapun, saya mengharapkan lebih baik untuk tahun depan. Saya rasakan sebagai satu pasukan yang terkemuka, Selangor layak mendapat jurulatih yang lebih besar,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Walaupun mengemudi sebuah pasukan yang tidak berbelanja besar dan mempertaruhkan ramai pemain-pemain muda, Nidzam berjaya memimpin Felda United mengelakkan penyingkiran ke Liga Premier musim lepas.

Nidzam gemar menerapkan strategi dan taktikal pasukannya mengikut lawan yang dihadapi menyebabkan dia dianggap sebagai seorang jurulatih muda yang genius sekaligus menarik perhatian peminat-peminat bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, rezeki tidak menyebelahi Nidzam untuk memastikan Felda United kekal dalam saingan Liga Super pada musim hadapan setelah menamatkan saingan musim ini di tangga kesebelas.

Untuk rekod, Nidzam memulakan kerjaya kejurulatihan bersama pasukan SPA FC sekitar tahun 2010 sebelum berhijrah mengemudi AirAsia FC dan skuad bola sepak universiti Malaysia ke Sukan Universiti 2017.

Kemudiannya, Nidzam ke Felda United untuk menjadi penolong ketua jurulatih kepada B. Satiananthan. Pada tahun 2019, Nidzam dilantik sebagai ketua jurulatih skuad The Fighters sehinggalah pada musim ini.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 24 times, 1 visits today)
Close