Written by 1:33 pm Bola Sepak, Eropah, Malaysia

Safawi Alami Kecederaan Selepas Menentang Sporting CP B-23

Penyerang sayap kebangsaan, Safawi Rasid dilaporkan mengalami kecederaan selepas daripada perlawanan menentang Sporting CP Bawah 23 Tahun (B-23) dalam aksi Liga Revelacao, sabtu lalu.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialami oleh Safawi tidak begitu serius dan akan pulih dalam tempoh yang singkat.

Dalam perlawanan tersebut, Safawi diturunkan dalam kesebelasan utama dan bermain hampir 60 minit sebelum digantikan oleh pemain muda Brazil, Felipe Dini.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini mengakui ianya merupakan satu pengalaman baharu dan berbeza bermain di pentas eropah walaupun hanya membuat penampilan dalam siangan liga simpanan mereka.

“Mereka bermain cukup laju dengan fizikal yang agak besar namun itu adalah pengalaman bagus untuk saya memahami corak permainan pemain Eropah.

“Walaupun mengalami sedikit kecederaan, situasi terbabit tidaklah membimbangkan kerana akan pulih dalam tempoh terdekat ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

Sementara itu, Safawi berkata saingan untuk merebut kesebelasan utama sangat sukar bersama Portimonense SC tidak kiralah dalam skuad senior atau skuad simpanan.

Apa yang boleh digambarkan, sebaik sahaja sesi latihan bermula rakan sepasukan akan berubah 360° menjadi ‘musuh’ demi memikat dan meraih perhatian barisan kejurulatihan.

“Sebelum latihan, kami boleh bergurau dan gelak bersama namun sebaik melangkah ke padang boleh diibaratkan tidak mengenali antara satu sama lain.

“Apa yang boleh saya katakan, tiada istilah budak emas atau istimewa kerana semuanya sama saja dengan matlamat untuk dipilih mengisi kesebelasan utama.

“Jika kita lemah atau gagal menunjukkan prestasi diinginkan, jangan mimpi untuk bermain bersama skuad utama,” katanya lagi.

Untuk rekod, Safawi diikat oleh pasukan Portimonense SC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selama setahun. Ia turut disertakan dengan klausa mendapatkan khidmat Safawi secara tetap pada penghujung musim.

Featured Image: Portimonense SC

(Visited 143 times, 1 visits today)
Close