Written by 3:45 pm MotoGP, Permotoran

Idemitsu Honda Team Asia Pasukan Hafizh Yang Seterusnya?

Adakah pasukan Idemitsu Honda Team Asia bakal menjadi pasukan seterusnya buat pelumba negara, Hafizh Syahrin untuk saingan Moto2 2021?

Masa depan Hafizh mencetuskan tanda tanya selepas pasukannya, Aspar Team mengumumkan mengikat pelumba baharu, Albert Arenas sekaligus menyisihkannya untuk saingan musim hadapan.

Bagaimanapun, menurut bapanya, Abdullah Harun telah berkongsikan bersama media bahawa anaknya yang berusia 26 tahun itu masih mempunyai tempat dalam saingan Moto2 berikutan dua pasukan sedang berbincang untuk mendapatkan khidmat Hafizh.

Turut dikongsikan oleh bapanya adalah salah sebuah pasukan yang mahukan khidmat Hafizh mempunyai kaitan dengan pengeluar jentera Jepun iaitu Honda.

“Minggu lalu dia ada memberitahu saya ada dua pasukan sedang berbincang dengannya. Cuma dia berpesan bahawa dia mampu menanggung semua ini (tanpa bercerita lanjut).”

“Hafizh sanggup risiko dan Insya-Allah dia ada tempat dalam Moto2. Pasukan yang menghubunginya itu mempunyai kaitan dengan pengeluar Honda,” katanya dipetik daripada Astro Arena.

Berdasarkan pengamatan kepada 15 pasukan yang bersaing dalam kancah Moto2 musim ini, hanya sebuah pasukan yang mempunyai perkaitan dengan Honda iaitu Idemitsu Honda Team Asia.

Sementara itu, musim ini menyaksikan Idemitsu Honda Team Asia mempertaruhkan dua pelumba asia tenggara iaitu Somkiat Chantra (Thailand) dan Andi Farid Izdihar (Indonesia) yang berusia 21 dan 23 tahun masing-masing.

Berdasarkan kedudukan dunia bagi saingan Moto2 2020, Somkiat menduduki tangga ke-24 dengan pungutan 10 mata. Manakala Andi Farid pula menduduki tangga ke-30 tanpa sebarang pungutan mata selepas 11 perlumbaan.

Sebagai perbandingan, Hafizh Syahrin berada di kedudukan ke-21 dengan kutipan 18 mata.

Featured Image: Aspar Team & Honda Team Asia

(Visited 244 times, 1 visits today)
Close