Written by 4:17 pm Bola Sepak, Malaysia

Pemain Yang Digosipkan Menjadi Sasaran Selangor Dilanjutkan Kontrak

Pemain yang dikatakan menjadi sasaran utama pasukan Selangor untuk musim hadapan, Nazmi Faiz Mansor dilanjutkan kontrak oleh Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sepanjang tahun ini, pemain tengah berusia 26 tahun itu kuat digosipkan untuk kembali ke pasukan negeri kelahirannya. Perkara itu turut diperkatakan oleh sebuah media berpangkalan di Singapura.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada makluman di media sosial skuad Harimau Selatan, Nazmi nampaknya akan terus kekal menyarung jersi merah biru yang dipakainya sejak tahun 2017.

Nazmi dilihat menandatangi kontrak sambungan tersebut sambil disaksikan oleh pemilik kelab, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim di Ibu Pejabat JDT yang terletak di Iskandar Puteri, hari ini.

Sementara itu, JDT turut membuat keputusan untuk melanjutkan kontrak 11 orang pemain lain yang terdiri kalangan pemain senior dan juga pemain muda.

Antaranya ialah S. Kunanlan (34 tahun), Gary Steven Robbat (28 tahun), Aidil Zafuan (33 tahun), Farizal Marlias (34 tahun), Hazwan Bakri (29 tahun), Adam Nor Azlin (24 tahun), Akhyar Rashid (21 tahun) dan Syazwan Andik (24 tahun).

Sementara itu, pemain muda yang mencuri tumpuan pada saingan musim ini turut disambungkan oleh kontrak ialah Ramadhan Saifullah (19 tahun), Arif Aiman (18 tahun) dan Feroz Baharudin (20 tahun).

Berdasarkan makluman tersebut, tiada sebarang perincian mengenai tempoh lanjutan kontrak dan jumlah gaji yang ditawarkan didedahkan oleh JDT kepada umum.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 135 times, 1 visits today)
Close