Written by 2:06 pm Bola Sepak, Eropah

5 Pemain Bola Sepak Yang Berjaya Bangkit Setelah Ditimpa Kecederaan ACL

Kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (ACL) terjadi apabila satu atau dua ligamen yang menyambungkan femur (tulang peha) dengan tibia (tulang kering) terputus secara sempurna. 

Ianya merupakan satu kecederaan yang mengerikan buat para pemain bola sepak dan juga atlet-atlet sukan. Mengapa? Hal ini kerana, sekiranya menimpa mana-mana pemain atau atlet sukan, ia memerlukan tempoh sekitar enam hingga sembilan bulan sebelum sembuh sepenuhnya. 

Seperkara lagi, setelah sembuh, belum tentu pemain atau atlet tersebut dalam kembali beraksi ke tahap kemuncak sebagaimana sebelum kecederaan menimpa mereka. 

Namun begitu terdapat beberapa pemain yang ditimpa kecederaan melibatkan ACL berjaya bangkit dan kembali memparmerkan prestasi kemuncak sepertimana sebelumnya. Di sini kami senaraikan lima pemain-pemain tersebut:

#1 Zlatan Ibrahimovic

Foto: AC Milan

Penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic mendapat kecederaan ACL ketika bermain bersama Manchester United dalam perlawanan menentang Anderlecht dalam saingan Liga Europa 2017. Pada pandangan ramai, dengan umurnya pada ketika itu dalam lingkungan 35 tahun, kecederaan tersebut pastinya menjadi noktah kepada kerjaya bola sepaknya.

Bagaimanapun, Zlatan berjaya bangkit daripada kecederaan tersebut dan menjadi pemain penting ketika beraksi bersama kelab berpangkalan di Amerika Syarikat, Los Angeles Galaxy dengan menjaringkan 53 gol daripada 58 penampilan.

Penghujung tahun 2019, Zlatan kembali ke pasukan lamanya dalam saingan Serie A Itali iaitu AC Milan sebagai pemain ejen bebas. Walaupun sekadar bermain separuh musim tetapi penyerang berusia 39 tahun ini berjaya menjaringkan 10 gol daripada 18 penampilan. Hasil kecemerlangan prestasinya tersebut, dia diberikan lanjutan kontrak bersama AC Milan sehingga ke penghujung musim ini. 

#2 Radamel Falcao

Foto: Manchester United

Penyerang Colombia, Falcao antara pemain malang yang ditimpa kecederaan ACL melebihi sekali. Kecederaan ACL pertama yang menimpanya adalah pada tahun 2005 ketika beraksi bersama River Plate.

Disebabkan kecederaan tersebut, Falcao terpaksa berehat selama 10 bulan. Namun, Falcao berjaya bangkit daripada kecederaan tersebut dan menjadi penyerang prolifik skuad kebangsaannya termasuk ketika mewakili Porto dan Atletico Madrid.

Akan tetapi, kecederaan ACL kembali menimpa Falcao ketika dia bersama kelab AS Monaco. Kecederaan kali ini mengambil lebih masa untuk pulih sebelum kembali menemui sentuhan berbisanya. Dia juga gagal menyerlah semasa dipinjamkan ke Manchester United dan Chelsea.

Bagaimanapun, sentuhannya kembali berbisa setelah berpindah ke Liga Turki dengan menyertai Galatasaray.

#3 Ruud van Nistelrooy

Foto: Manchester United

Selepas menjaringkan 29 gol dalam 23 perlawanan dalam saingan Liga Belanda untuk PSV Eindhoven pada musim 1999/00, Ruud van Nistelrooy dijangka akan diperkenalkan sebagai pemain Manchester United pada jendela perpindahan musim panas tersebut.

Bagaimanapun, Manchester United dilaporkan menarik ‘hand brake’ apabila PSV Eindhoven menolak untuk mengadakan ujian kesihatan setelah sebulan tidak bermain kerana masalah lutut. Tidak lama selepas itu, Nistelrooy dilaporkan mengalami kecederaan ACL semasa sesi latihan dan menyebabkannya terpaksa berehat selama setahun.

Namun perpindahannya ke Manchester United tetap menjadi realiti pada tahun berikutnya iaitu tahun 2001 dan muncul sebagai salah seorang penyerang terbaik dalam sejarah Red Devils dengan menjaringkan 150 gol daripada 219 perlawanan.

#4 Xavi Hernandez

Foto: FC Barcelona

Pemain tengah Barcelona ini ditimpa kecederaan ACL pada tahun 2006 ketika bertembung dengan Edmilson semasa menentang Villareal CF. Kecederaan itu menyebabkannya berehat selama empat bulan.

Bagaimanapun, pemain tengah kelahiran Sepanyol ini berjaya bangkit dengan menjadi salah seorang pemain tengah terbaik di zamannya bersama pasukan Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol.

Xavi berjaya menjulang kejuaraan La Liga, Liga Juara-Juara Eropah, Piala Dunia Kelab, Kejuaraan Eropah dan Piala Dunia sebelum mengumumkan menggantung butnya pada tahun 2015.

#5 Francesco Totti

Foto: AS Roma

Menuju ke penghujung musim 2007/08, kapten berpengaruh AS Roma, Francesco Totti ditimpa kecederaan ACL semasa perlawanan menentang Livorno. Kecederaan itu menyebabkan Totti tidak dapat menyertai pasukannya dalam saingan Coppa Italia selepas daripada itu.

Totti terpaksa berehat selama empat bulan tetapi setelah sembuh sepenuhnya, dia kembali menjadi taruhan utama AS Roma pada permulaan musim berikutnya.

Pada Mei 2017, Totti membuat penampilan terakhirnya bersama AS Roma dalam perlawanan menentang Genoa dengan masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menggantikan Mohamed Salah.

Pada usia 40 tahun, pemain legenda AS Roma ini mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak.

(Visited 48 times, 1 visits today)
Close