Artikel

Anwar Ibrahim Dan Beberapa Pemain Senior Digugurkan Kem Selangor

Pertahanan muda, Muhammad Anwar Ibrahim dan beberapa pemain berstatus senior digugurkan oleh kem Selangor menjelang sepak mula saingan Piala Malaysia 2020.

Selain daripada pertahanan berusia 21 tahun tersebut, pertahanan kacukan Nick Swirad (29 tahun), penyerang senior Khyril Muhymeen (33 tahun) dan penjaga gol berpengalaman Farizal Harun (34 tahun) antara yang turut digugurkan menurut satu pendedahan oleh wartawan Astro Arena.

Kesemua pemain ini tiada dalam percancangan ketua jurulatih interim Selangor, Michael Feichtenbeiner untuk saingan Piala Malaysia dan juga musim depan.

Tambahnya lagi, kesemua pemain ini dilepaskan untuk memberi ruang kepada pemain-pemain muda terutamanya daripada skuad simpanan, Selangor 2 yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini.

“Buat masa ini, ada beberapa pemain yang sudah diberitahu bahawa mereka tiada dalam perancangan saya kerana kami memerlukan ruang untuk pemain muda.

“Jika kesemua pemain yang sudah berumur masih ada dalam pasukan, ditambah pula dengan enam atau tujuh pemain baru, anda akan memiliki terlalu banyak pemain dalam pasukan, jadi ia perlu dilakukan.

Michael Feichtenbeiner – Foto: Selangor FC

“Kami sudah berbincang dengan mereka, pihak pengurusan sudah berbincang dengan pemain, jadi saya fikir kami sudah mendapatkan penyelesaian terbaik buat semua pihak.

“Sudah pasti pemain yang terlibat berasa kecewa tetapi dalam bola sepak, adakalanya perkara seperti ini diperlukan,” kata Feichtenbeiner seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Difahamkan kesemua pemain tersebut dilepaskan secara persefahaman bersama.

Featured Image: Selangor FC

komen