Written by 5:19 pm Permotoran

Pelumba Muda Tempatan Belum Sedia Isi Kekosongan Khairul Idham Pawi

Pasukan Petronas Sprinta Racing telah mengumumkan bahawa pelumba kelahiran Perak, Khairul Idham Pawi tidak disambung kontraknya untuk saingan Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3, musim depan.

Pelbagai reaksi dilontarkan oleh para peminat sukan permotoran tempatan mengenai pengumuman tersebut. Terdapat kalangan yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengkritiknya.

Susulan pengumuman tersebut, beberapa peminat tempatan mahu melihat kekosongan yang ditinggalkan oleh Khairul Idham itu diisi oleh pelumba tempatan yang lain. 

Malang buat mereka kerana ianya tidak menjadi kenyataan apabila tempat itu bakal diisi oleh pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder daripada pasukan CIP Green Power.

Ia sedikit sebanyak menghampakan sekelompok peminat sukan permotoran tanah. Menurut mereka pasukan tempatan seperti Petronas Sprinta Racing mengutamakan pelumba-pelumba tempatan berbanding luar negara.

Namun begitu, prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali mempunyai sebab tersendiri mengapa pihaknya tidak merekrut pelumba muda tempatan yang lain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan SuperKIP itu. 

“Kita tidak mahu perkara seperti ini berulang (pelumba tempatan gagal menjelmakan keputusan terbaik seperti yang terjadi kepada SuperKIP musim ini) ke­rana kita mahu melihat pelumba-pelumba pelapis negara benar-benar bersedia sebelum kita angkat mereka ke pentas dunia. Tetapi ketika ini, pelumba kita yang beraksi di CEV belum bersedia,” katanya seperti dilaporkan oleh Kosmo.

Untuk makluman, terdapat tiga pelumba muda tempatan yang kini sedang beraksi dalam saingan remaja iaitu Kejuaraan FIM CEV Repsol 2020.

Pertamanya, Sharul Ezwan, 16 tahun yang beraksi bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Junior Team dalam kelas European Talent Cup.

Keduanya adalah Adam Norrodin, 22 tahun juga beraksi bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Junior Team. Sedikit berbeza dengan Sharul di mana Adam beraksi dalam saingan Moto2 Eropah.

Dan yang terakhir ialah Syarifuddin Azman, 19 tahun yang beraksi bersama pasukan Monlau Motorsport dan beraksi dalam saingan Moto3 Remaja.

Featured Image: Petronas SRT

(Visited 26 times, 1 visits today)
Close