Artikel

TMJ: Peminat Perlu Faham Safawi Bersaing Dengan Pemain Dari Negara Ranking Tinggi

Peminat bola sepak tempatan tidak seharusnya terburu-buru untuk melihat aksi penyerang kebangsaan, Safawi Rasid dalam kesebelasan utama Portimonense SC dalam masa terdekat.

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berpandangan bahawa Portimonense memerlukan masa untuk melihat perkembangan Safawi di Portugal dari semasa ke semasa.

Walaupun Safawi merupakan pemain yang berbakat tetapi dia kini sedang bersaing dengan pemain-pemain bermentaliti tinggi dari negara-negara yang mempunyai ranking lebih baik dari Malaysia.

“Saya rasa penyokong bola sepak tanah air kena faham proses,”

“(Pemain) kita datang daripada ranking dunia yang amat rendah, apabila pemain kita ke luar negara, mereka akan ada pesaing dalam pasukan mereka sendiri daripada negara seperti Brazil, Colombia atau Ukraine, negara yang berada dalam ranking sangat tinggi dunia.”

“Dari kecil lagi pemain ini telah diberi (tahap) pendidikan bola sepak yang jauh lebih tinggi daripada kita di sini. Jadi walaupun pemain tanah air kita begitu berbakat tetapi mereka perlu masa untuk berkembang.” 

“Kita kena menghormati masa yang diberikan oleh kelab tersebut dan kita kena yakin dengan proses tersebut.” titahnya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Sementara itu, Tunku Ismail yang merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengakui sering berhubung dengan bekas pemainnya itu untuk mengikuti perkembangannya.

“Kami sentiasa berhubung boleh dikatakan setiap hari, termasuk dengan pemilik kelab di sana untuk memastikan dia sentiasa dijaga dengan baik di sana,” tambah baginda lagi.

Menurut laporan media tempatan, Pemain Paling Bernilai (MVP) dua kali Liga Malaysia itu disahkan kekal bersama skuad Portimonense Bawah 23 Tahun (B-23) untuk aksi hujung minggu ini bertemu Maritimo B-23 dalam saingan Liga Revelacao.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers & Portimonense SC

komen