Written by 5:01 pm Formula 1, Permotoran

5 Pemenang Terbanyak Saingan Formula 1 Dalam Sejarah

Formula Satu atau Formula One (F1) merupakan perlumbaan jentera automotif peringkat antarabangsa yang dikelolakan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Sejak diperkenalkan pada tahun 1950, pelbagai pelumba dari seluruh dunia telah menempa nama sebagai pemenang setiap siri perlumbaan (Grand Prix) yang dipertandingkan.

Berikut kami sajikan lima pelumba dengan kemenangan terbanyak dalam sejarah saingan F1 sejak 1950 hingga 2020:

#5 Ayrton Senna – 41 Kemenangan

Ayrton Senna ketika meraikan kemenangan di GP Suzuka pada tahun 1988

Ayrton Senna merupakan pelumba Brazil yang lahir pada 21 Mac 1960. Dilahirkan dalam keluarga yang kaya, Ayrton berkecimpung dalam dunia perlumbaan bukan kerana mengejar kekayaan tetapi minat yang tinggi dalam sukan permotoran.

Disebut sebagai salah seorang pelumba terbaik dalam sejarah, Ayrton melakukan penampilan pertamanya dalam saingan F1 bersama pasukan Toleman. Perlumbaan pertamanya adalah GP Brazil pada tahun 1984.

Sepanjang beraksi dalam kancah F1, Ayrton telah merekodkan 41 kemenangan menerusi pasukan Toleman, Lotus, McLaren dan Williams. Turut memenangi kejuaraan dunia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1988, 1990 dan 1991.

Pengakhiran hidup Ayrton amat tragis apabila dia mati kerana terlibat dalam insiden merempuh tembok di selekoh semasa perlumbaan GP San Marino pada Mei 1994.

#4 Alain Prost – 51 Kemenangan

Alain Prost semasa menjuarai saingan F1 pertamanya di Perancis

Alain Prost adalah seorang pelumba F1 yang telah bersara. Dilahirkan di Loire, Perancis, Alain memulakan karier perlumbaan dalam saingan F1 bersama McLaren pada tahun 1980.

Permulaan kariernya tidak begitu memberangsangkan bersama McLaren dan Alain mengambil keputusan untuk membatalkan kontraknya dan berhijrah ke pasukan Renault pada tahun 1981. 

Kemenangan pertama Alain hadir semasa perlumbaan di negaranya iaitu GP Perancis di Dijon. Bagaimanapun, jodohnya bersama Renault hanya bertahan sehingga 1983 kerana berang dijadikan kambing hitam ekoran kegagalan memenangi kejuaraan dunia bersama Renault. 

Hasilnya, Alain kembali bergabung bersama McLaren pada tahun 1984 dan selama enam musim bersama pasukan British tersebut, dia telah memenangi kejuaraan dunia sebanyak 3 kali. Sempat juga dia beraksi bersama Ferrari dan Williams di penghujung kariernya.

Tahun terakhirnya dalam saingan F1 iaitu pada tahun 1993, Alain memperoleh kejuaraan keempat dan mengumpul kemenangan sebanyak 51 kali.

#3 Sebastian Vettel – 53 Kemenangan

Sebastian Vettel bersama Ferrari musim 2020

Sebastian Vettel merupakan pelumba berusia 33 tahun yang lahir Heppenheim, Jerman. Masih lagi bergelar pelumba F1 bersama pasukan Ferrari sehingga ke hari ini.

Memulakan karier F1 bersama pasukan BMW Sauber dengan menjadi pelumba ketiga mereka seawal umur 19 tahun. Penampilan pertamanya dalam kancah F1 hadir pada tahun 2007 di GP Amerika Syarikat.

Namun, pada Julai 2007, Vettel dilepaskan oleh BMW dan dia menyertai Toro Rosso. Kemenangan pertamanya diraih semasa GP Itali di trek Monza. Vettel mencipta sejarah dengan pelumba termuda menempatkan diri di kedudukan pertama di petak permulaan dan memenangi perlumbaan.

Pada tahun 2009, Vettel berhijrah ke pasukan Red Bull dan berlumba dengan pasukan tersebut sehingga tahun 2014. Kemudiannya dia berpindah pasukan Ferrari sehinggalah ke saat ini. Setakat ini, Vettel telah merekodkan 53 kemenangan dan empat kejuaraan dunia.

Musim hadapan Vettel akan bersama pasukan Aston Martin.

#2 Michael Schumacher – 91 Kemenangan

Michael Schumacher pada tahun 2000

Michael Schumacher seorang pelumba yang terkenal dalam sukan permotoran F1 terutamanya pada penghujung 1990-an dan awal 2000-an. Merupakan pelumba kelahiran Jerman  yang cukup sinonim dengan dengan jentera serba merah buatan Itali, Ferrari.

Manakan tidaknya, lima daripada kejuaraan dunia F1 milik Schumacher dirangkul ketika memandu jentera Ferrari. Jodohnya bersama Ferrari bertahan selama sebelas musim sebelum bersara pada tahun 2006.

Merekodkan 91 kemenangan sepanjang kariernya, Schumacher pernah bersama Jordan dan Benetton pada zaman awal pembabitannya dalam sukan permotoran. Pernah keluar daripada persaraan dan menyertai pasukan Mercedes – pasukan baharu dalam saingan F1 – pada tahun 2010 sehingga 2012.

#1 Lewis Hamilton – 92 Kemenangan Dan Belum Berhenti…

Lewis Hamilton meraikan kemenangan ke-92 dalam karier F1

Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dinobatkan sebagai pemenang terbanyak saingan F1 dalam sejarah apabila memenangi GP Portugal yang berlangsung di Litar Antarabangsa Algarve, semalam.

Kemenangan itu mengatasi rekod 91 kemenangan yang dipegang oleh bekas pelumba Ferrari dan Mercedes iaitu Michael Schumacher. Bukan itu sahaja, Hamilton juga berpeluang untuk menyamai rekod kejuaraan dunia milik Schumacher dengan memenangi kejuaraan ketujuh, musim ini.

Hamilton memulakan karier sukan permotorannya bersama McLaren pada tahun 2007 dan merangkul kejuaraan pertamanya pada tahun 2008. Bagaimanapun daripada 2009 sehingga 2012, Hamilton bergelut untuk memburu kejuaraan dunia ekoran jenteranya yang dilaporkan kurang kompetitif.

Ini menyebabkan pelumba British ini beralih kepada pasukan Mercedes dan bersama pasukan ini, Hamilton mula menunjukkan dominasinya dalam saingan F1 dengan bermula di petak pertama hampir keseluruhan perlumbaan dan tiga kejuaraan dunia secara berturut iaitu 2017, 2018 dan 2019.

Featured Image: Michael Schumacher

(Visited 37 times, 1 visits today)
Close