Artikel

Duit ‘Pencen’ Khabib Nurmagomedov Lebih RM25 Juta

Atlet seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov dilaporkan membawa pulang wang lumayan hampir RM25 juta ($6 juta) setelah memenangi perlawanan menentang Justin Gaethje dalam aksi UFC 254 menurut laporan Russia Today.

Khabib yang terkenal dengan julukan The Eagle itu hanya memerlukan dua pusingan untuk menumbangkan lawannya di Fight Island, Abu Dhabi sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalahnya kepada 29 perlawanan.

Selain daripada jumlah tersebut, Khabib juga diberikan bonus tambahan hasil kemenangan yang bernilai sekitar RM375,000 ($90,000). Malah dia juga akan mendapat bayaran tambahan hasil daripada kontrak bayar untuk tonton (pay-per-view).

Dan menurut Presiden UFC, Dana White turut mengesahkan bahawa pertembungan di antara Khabib dan Gaethje merupakan salah satu pertarungan box office paling menguntungkan dalam sejarah UFC.

Sejurus perlawanan tersebut, Khabib tampil mengumumkan persaraannya dengan penuh emosi atas alasan tidak mampu meneruskan kariernya tanpa bapa merangkap jurulatihnya yang telah meninggal dunia pada julai lalu ekoran dijangkiti oleh Covid-19.

Featured Image: UFC

komen