Written by 5:47 pm Lain-Lain • One Comment

Kenali 5 Petarung MMA Muslim Selain Khabib Nurmagomedov

Petarung seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov mengejutkan dunia apabila mengumumkan pengundurannya daripada saingan Ultimate Fighting Championship (UFC), ahad lalu.

Pengumuman tersebut menimbulkan reaksi yang pelbagai dalam kalangan peminat khususnya yang muslim. Hal ini kerana Khabib bukan sahaja dijulang sebagai hero di dalam gelanggang malah sebagai contoh teladan sebagai seorang muslim sejati.

Selain daripada hebat bertempur di dalam gelanggang dan memegang rekod 29 pertarungan tanpa kalah dan seri, Khabib turut terkenal dengan mulutnya yang tidak lekang dengan ucapan tahmid (Alhamdulillah).

Bagaimanapun, Khabib yang terkenal dengan julukan The Eagle ini bukanlah satu-satunya petarung muslim dalam dunia MMA dan juga saingan UFC. Berikut adalah lima petarung muslim yang sedang mencipta nama selain daripada Khabib:

#5 Usman Nurmagomedov

Khabib dan Usman Nurmagomedov – Foto: Instagram Usman Nurmagomedov

Usman Nurmagomedov merupakan sepupu kepada Khabib Nurmagomedov. Berusia 23 tahun dan merupakan seorang pakar dalam seni Muay Thai. Pengurusnya, Ali Abdelaziz meramalkan Usman bakal menjadi bintang masa hadapan MMA dan akan mengatasi Khabib. Ketika ini, Usman memegang rekod 11 kemenangan tanpa kalah. Pada awal oktober lalu, Usman diumumkan telah menyertai Bellator MMA dalam kategori lightweight.

#4 Umar Nurmagomedov

Foto: Umar Nurmagomedov

Umar Numagomedov juga sepupu kepada juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov. Dia merupakan petarung UFC dalam kategori bantamweight. Berumur 24 tahun dan melakukan debutnya di octagon pada april lalu. Sepertimana Khabib, Umar juga mendapat tunjuk ajar dan dilatih oleh almarhum bapa kepada Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov. Rekod dalam kariernya pada ketika ini adalah 12 kemenangan tanpa sebarang kekalahan.

#3 Islam Makhachev

Islam Makhachev bersama Khabib Nurmagomedov – Foto: Instagram Islam Makhachev

Kita berkenalan pula dengan seorang lagi petarung muslim kelahiran Dagestan, Rusia iaitu Islam Makhachev. Berusia 29 tahun dan telah menyertai saingan UFC sejak 2014 dalam kategori lightweight. Merupakan pengamal seni bela diri Sambo. Rekod Islam tidak kurang hebatnya di mana setakat ini dia telah memenangi 18 pertarungan dan hanya tewas sekali.

#2 Zabit Magomedsharipov

Foto: Instagram Zabit Magomedsharipov

Nampaknya bumi Dagestan tidak asing dengan petarung seni bela diri campuran. Seorang lagi pertarung beragama islam kelahiran Dagestan dalam saingan UFC ialah Zabit Magomedsharipov. Berumur 29 tahun, Zabit menyertai UFC sejak 2017. Gaya bertarung Zabit diumpamakan sebagai seorang ninja dan dia merupakan pengamal seni bela diri Sando – seni bela diri dari Cina. Rekodnya setakat ini adalah 18 kemenangan dan hanya tewas sekali.

#1 Khamzat Chimaev

Foto: Instagram Khamzat Chimaev

Kali ini kita beralih dari wilayah Dagestan dan berkenalan dengan petarung kelahiran Chechnya, Rusia. Namanya Khamzat Chimaev dan baru sahaja melakukan debut dalam saingan UFC pada tahun ini. Berusia 29 tahun dan beraksi dalam kategori middleweight. Mempunyai personaliti seakan-akan Khabib dan rekodnya sehingga kini adalah 8 kemenangan dan belum pernah tewas.

Featured Image: UFC

(Visited 122 times, 1 visits today)
Close