Written by 12:09 pm Bola Sepak, Malaysia • One Comment

TFC Lantik Ab Rasid Sebagai CEO – Punyai ‘Master’ Dalam Pengurusan Sukan

Terengganu Football Club (TFC) mengumumkan perlantikan Encik Ab Rasid Jusoh selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Terengganu Football Club Sdn Bhd – syarikat yang menguruskan pasukan TFC.

Perkembangan positif itu diumumkan dalam satu kenyataan kelab menerusi laman sosialnya, semalam. Perlantikan Ab Rasid sebagai CEO buat TFC dilihat tepat jika dilihatkan kepada latar belakangnya. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan (Sukan) daripada Curtin University, Australia.

Selain itu, Ab Rasid juga merupakan bekas CEO dan pengurus pasukan T-Team FC suatu masa dahulu sebelum digabungkan menjadi skuad simpanan, Terengganu FC II. Ab Rasid pernah bergelar sebagai pemain bola sepak semasa zaman muda remajanya.

Selain itu, TFC turut mengumumkan perlantikan Mohd Sabri Abas selaku Ketua Pegawai Operasi (COO) buat Terengganu Football Club Sdn. Bhd.

“TFC kini akan bergerak sebagai sebuah kelab bola sepak profesional yang diuruskan oleh syarikat berstruktur korporat. Ini adalah merupakan permulaan bagi sesuatu yang baru khususnya dalam arena sukan bola sepak di negeri Terengganu.

“Ianya memerlukan kerjasama dari semua pihak dalam memastikan TFC bakal bergerak dengan langkah positif dengan berlandaskan pelan atur dan pelan tindakan yang telah dirancang untuk memastikan kelab ini dapat bersaing dan terus membangun maju dari tahun ke tahun.

“Kejayaan dalam kejohanan semestinya menjadi keutamaan bagi semua pasukan bola sepak namun di TFC kini kita perlu mula membina penstrukturan pengurusan yang kukuh dari pelbagai sudut kerana itulah kunci untuk kejayaan bagi keseluruhan aspek dalam sesebuah pasukan bola sepak.” tulis kenyataan kelab.

Featured Image: TFC

(Visited 23 times, 1 visits today)
Close