Written by 12:16 pm Lain-Lain

Atlet 4×100 Negara Berlatih Awal – Sasar Pingat Emas Sukan SEA 2021

Atlet-atlet 4×100 meter lelaki negara sudah mula dikumpulkan untuk berlatih bagi memastikan hasrat untuk merangkul pingat emas di temasya Sukan SEA Vietnam 2021 dapat dicapai.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata hasrat tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil jika mengambil kira potensi barisan atlet 4×100 meter dan rekod dalam temasya Sukan SEA edisi terdahulu.

“Sebab itu kita kumpulkan semua atlet pecut terbaik menjalani latihan bersama di bawah ketua jurulatih pecut, Dwayne Miller agar dia boleh buat perancangan awal. Ini juga KPI (petunjuk prestasi utama) yang diletakkan kepadanya.

“Kalau lihat berdasarkan kemampuan kuartet kita ketika Sukan SEA di Filipina tahun lalu (menang perak), kita nampak ada peluang yang besar untuk menang emas pada Sukan SEA di Vietnam.

“Melihat kepada catatan peribadi terbaik atlet pecut kita, sepatutnya memang kita boleh menang emas di Vietnam. Sebab itu kita perlu mengumpulkan mereka lebih awal bagi berlatih bersama kerana acara lari berganti-ganti turut membabitkan teknikal yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Ketika ini, enam atlet pecut terbaik sedang berlatih di bawah kelolaan Miller yang merupakan kelahiran Amerika Syarikat. Mereka ialah Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan, Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Mohd Aqil Yasmin.

Selain daripada menyasarkan untuk memenangi pingat temasya dwitahunan asia tenggara pada tahun hadapan, mereka juga disasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

“Mereka perlu diberi pendedahan dan menyertai kejohanan. Perancangan kita juga bukan setakat peringkat Sukan SEA tetapi kita mahu pergi jauh untuk sekurang-kurangnya meraih pingat pada Sukan Asia (di Hangzhou),” tambahnya lagi. 

Bagaimanapun, bercerita mengenai saingan dalam temasya Sukan Asia, Malaysia perlu membuat persiapan mantap kerana mereka bakal berhadapan saingan sukar daripada negara-negara hebat seperti China, Jepun dan Qatar.

(Visited 49 times, 1 visits today)
Close