Artikel

Pasukan Ford & Hyundai WRC Rebut Khidmat Valentino Rossi

Pasukan M-Sport Ford dan Hyundai Motorsport dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat juara sembilan kali MotoGP, Valentino Rossi untuk beraksi dalam saingan Kejuaraan Rali Dunia (WRC) hujung tahun ini.

Difahamkan, kedua-dua pasukan tersebut sedang ‘berebut’ untuk mendapatkan khidmat Rossi dalam perlumbaan terakhir WRC 2020 di Monza, Itali yang dijadualkan berlangsung pada 4 – 6 Disember.

“Saya tahu mengenai Moza – beberapa orang telah memanggil saya.”

“Perancangan awal saya untuk tidak berlumba di Monza kerana saya mahu menyertai perlumbaan di Abu Dhabi sepertimana tahun lepas. 

“Tetapi, sudah pasti, situasi telah berubah dan menjadikan pusingan terakhir kejuaraan dunia semakin menarik dan saya akan lihat bagaimana nanti,” seperti dipetik daripada laman WRC.

Setakat ini, Rossi belum membuat sebarang keputusan muktamad samada untuk menyertai salah sebuah pasukan WRC berkenaan ataupun tidak.

Untuk makluman, saingan perlumbaan rali WRC bukanlah sesuatu yang asing buat pelumba berusia 41 tahun ini. Rossi pernah menyertai perlumbaan rali WRC sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2002, 2006 dan 2008.

Dia juga pernah menyertai perlumbaan Monza Rally Show dan memenanginya sebanyak tujuh kali. Kejuaraan ketujuh Monza Rally Show dirangkul Rossi dengan memandu Ford Fiesta RS WRC.

Bagi prinsipal pasukan M-Sport Ford, Richard Millener berkata pembabitan Rossi bersama pasukannya pastinya memberikan nilai tambah kepada saingan WRC di Monza hujung tahun ini.

Perkara itu turut diakui oleh prinsipal pasukan Hyundai Motorsport, Andrea Adamo dan pada masa yang sama kehadiran nama istimewa seperti Rossi akan menarik perhatian ramai orang kepada saingan WRC secara keseluruhannya.

Sementara itu, selain daripada Rossi, dilaporkan bekas pelumba Formula 1 (F1), Robert Kubica juga dikaitkan dengan membuat penampilan di perlumbaan Monza kelak.

Featured Image: Monza Rally Show

komen