Artikel

No.3 Liga Super, Semua Ini Hasil ‘Tunjuk Ajar’ Irfan Bakti 

Kejayaan jurulatih muda, Nafuzi Zain membimbing skuad Terengganu Football Club (TFC) menduduki tangga ketiga saingan CIMB Liga Super 2020 nyata membuka mata banyak pihak.

Gabungan pemain import berpengalaman dan pemain muda tempatan serta penerapan corak permainan bola sepak moden menjadi resipi asas Nafuzi dalam menggapai kejayaan di musim pertamanya bergelar ketua jurulatih secara penuh.

Namun begitu, disebalik segala pujian yang diberikan, jurulatih berusia 42 tahun ini tetap merendah diri dan memberikan kredit kepada bekas pengendali TFC merangkap bekas bosnya iaitu Irfan Bakti Abu Salim.

Irfan Bakti – Foto: MFL

“Apa yang saya ada sekarang ini, semuanya bermula daripada Irfan di mana perjalanan karier saya daripada Liga Premier sehingga TFC layak ke Liga Super pada tahun 2018, saya bersama-sama dengan beliau.

“Semua ini adalah jasa dan budi Irfan selama saya menjadi penolong jurulatih dengannya sejak 2017 sehingga beliau letak jawatan pada pertengahan 2019 dan beliaulah yang membawa saya ke kancah Liga Super sebelum ini.

“Sebelum beliau meletak jawatan, Irfan percaya saya akan mampu untuk menjaga pasukan ini dan daripada situlah saya terus mendapat peluang untuk mengemudi pasukan sebagai ketua jurulatih.

“Jadi, saya gunakan peluang sebaik mungkin untuk bantu pasukan berada di tahap lebih baik musim ini, dan saya rasa kalau Irfan tidak beri peluang kepada saya untuk bekerjasama dengannya bermula tahun 2017, saya mungkin tidak akan ke mana”, jelasnya.

Sementara itu, Nafuzi tidak sabar menantikan siapakah yang akan menjadi lawan buat TFC dalam pusingan pertama TM Piala Malaysia 2020 yang dijadualkan pada 6, 7 dan 8 November kelak.

Majlis undian yang akan diadakan pada ahad ini memainkan peranan penting untuk menentukan samada TFC dapat mengulangi atau tidak kempen cemerlang mereka ke pentas akhir sebagaimana pada tahun 2018 lalu.

Majlis undian tersebut akan diadakan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) pada jam 11 pagi dan akan disiarkan secara langsung di saluran Youtube Unifi dan Facebook Live MFL.

“Memang undian itu nanti akan jadi peranan penting untuk kita tengok nanti macam mana lawan yang kita akan beraksi nanti pada perlawanan untuk menentukan pasukan ke suku akhir.

“Tiada pusingan peringkat kumpulan, jadi mahu atau tidak, perlawanan pertama itu sangat penting dan selepas kita tahu siapa akan jadi lawan kita nanti, barulah saya boleh merancang dengan lebih baik kerana sudah tentu kita juga akan tahu corak perlawanan yang akan ditampilkan oleh lawan itu,” katanya lagi.

Untuk makluman, saingan Piala Malaysia pada tahun ini diubah kepada format kalah mati sahaja bermula daripada pusingan ke-16.

Featured Image: Terengganu Football Club

komen