Written by 4:09 pm Bola Sepak, Eropah, Malaysia

5 Perkara Menarik Mengenai Aqil Arazi, Remaja Malaysia di AS Cannes

Seorang remaja Malaysia iaitu Aqil Arazi Aziz menjadi tumpuan peminat-peminat bola sepak tempatan apabila dia dikhabarkan diterima menyertai sebuah pasukan berpangkalan di Perancis, AS Cannes setelah menjalani latihan dan sesi pemilihan selama dua bulan.

Selain daripada menjadi buah mulut para peminat tempatan dan media-media, perkhabaran tersebut turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican pada hari ini.

Aqil mula berlatih sejak berumur tujuh tahun dengan menyertai sebuah program bola sepak berhampiran kediaman rumahnya. Seterusnya, dia bermain bersama sebuah pasukan amatur tempatan dan menimba pengalaman beraksi dalam beberapa kejohanan dalam dan luar negara.

Berikut adalah rangkuman lima perkara menarik mengenai Aqil Arazi Aziz, pemain remaja Malaysia beriltizam tinggi yang bakal memulakan perjalanan baharu bola sepaknya bersama pasukan AS Cannes:

#1 Bukan Produk AMD Sepertimana Luqman Hakim

Aqil merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur dan lahir pada 1 disember 2003. Menerima latihan awal bola sepak bersama sebuah program kendalian MBJ United di kediamannnya, Bukit Jelutong seawal usia tujuh tahun. Seterusnya, Aqil menyertai The Goal Academy di Subang Jaya ketika berumur 10 tahun untuk mengasah dan mempertajamkan skilnya termasuk mempelajari kemahiran teknikal. Bersama The Goal Academy, Aqil turut berpeluang menyertai beberapa kejohanan kompetitif.

#2 Posisi Kegemaran, Pemain Idola & Pasukan Yang Diminati

Aqil merupakan seorang pemain yang sering beraksi di bahagian serangan. Tidak kiralah samada sebagai attacking midfielder, penyerang sayap atau penyerang. Oleh sebab itu, Aqil menjadikan penyerang prolifik FC Barcelona, Lionel Messi dan penyerang legenda skuad kebangsaan, Allaryarham Mokhtar Dahari sebagai idolanya. Pada masa yang sama, Aqil turut menggemari dua buah kelab bola sepak eropah iaitu FC Barcelona dan Manchester City.

#3 Menyertai First Eleven FC & Pengalaman Bermain di Luar Negara

Aqil Arazi bersama pasukan First 11 FC

Pada tahun 2016, ketika berusia 13 tahun Aqil menyertai sebuah pasukan bola sepak amatur iaitu First 11 FC. Bersama pasukan ini, Aqil berjaya mendapat pengalaman beraksi dalam kejohanan luar negara seperti di Shenzhen dan Guangzhou, China. Selain First 11 FC, Aqil turut aktif bersama pasukan sekolahnya, SMK Bukit Jelutong yang beraksi dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Selangor.

#4 Pernah Menyertai Latihan Bersama FC Barcelona

Aqil Arazi ketika menyertai program latihan bersama FC Barcelona

Hasil daripada keghairahan yang tinggi dalam sukan bola sepak dan pembabitannya dalam pelbagai kejohanan, Aqil telah ditaja oleh sebuah syarikat tempatan untuk mengikuti program latihan bersama gergasi Sepanyol, FC Barcelona. Program tersebut adalah Teaching Barca Values – FB Escola Soccer Camp 2017 yang merupakan kem latihan rasmi peringkat remaja kendalian FC FC Barcelona. Dalam program tersebut, Aqil didedahkan dengan kemahiran taktikal bola sepak yang digunapakai oleh pemain-pemain FC Barcelona.

#5 Mendapat Biasiswa Untuk Menyertai Akademi Bola Sepak di UK

Aqil Arazi ketika tiba di United Kingdom tahun 2018

Pada tahun 2018, Aqil dan pasukannya, First 11 FC berjaya memenangi kejohanan Dreams Come True 2018 di Guangzhou, China. Dan kelibatnya bersama pasukan First 11 FC telah menarik perhatian pencari bakat. Hasilnya, Aqil disenaraikan sebagai salah seorang untuk menerima tawaran biasiswa bagi mengikuti pengajian akademik dan program intensif latihan bola sepak bersama Brooke House College, United Kingdom (UK).

(Visited 319 times, 1 visits today)
Close