Written by 12:35 pm MotoGP, Permotoran

MotoGP: 6 Pelumba Pilihan ‘Bertarung’ Untuk Merangkul Kejuaraan Dunia 2020

Saingan Kejuaraan Motosikal Dunia MotoGP 2020 berbaki tiga perlumbaan sahaja lagi iaitu GP Eropah (8 November), GP Valencia (15 November) dan GP Portugal (22 November).

Tiga siri perlumbaan ini pastinya menjadi medan pertarungan buat semua pelumba MotoGP bagi mengutip sebanyak mungkin mata yang boleh sekaligus merangkul kejuaraan dunia.

Walaupun dalam saingan MotoGP pelbagai perkara yang tidak diduga boleh berlaku namun kami menyenaraikan enam pelumba pilihan yang berpeluang besar untuk muncul sebagai juara musim ini berdasarkan kedudukan dan prestasi semasa:

#1 Joan Mir

Pelumba Suzuki Ecstar ini mendahului carta kedudukan dunia saingan MotoGP dengan 137 mata. Menariknya, Joan Mir muncul selaku pendahulu kedudukan dunia dengan tidak mencatatkan sebarang kejuaraan daripada 12 perlumbaan yang lalu. Bagaimanapun, kami meletakkan dia selaku calon juara pada musim ini berdasarkan kepada prestasi semasanya di mana dia menaiki podium sebanyak empat kali daripada lima perlumbaan terakhirnya.

#2 Fabio Quartararo

Menduduki di tangga kedua kedudukan dunia adalah pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo dengan 123 mata. Musim ini, pelumba muda kelahiran Perancis ini telah memenangi tiga perlumbaan. Memberikan cabaran sejak daripada awal musim lagi namun dalam tiga perlumbaan terakhirnya dimana dia tamat di kedudukan kelapan, keenam dan kesembilan disebabkan oleh jenteranya yang sedikit bermasalah sekaligus memberkan impak kepada kutipan matanya.

#3 Maverick Vinales

Pelumba pasukan kilang Yamaha, Maverick Vinales menduduki tangga ketiga carta kedudukan dunia dengan kutipan 118 mata. Dalam lima perlumbaan yang terakhir, keputusan paling cemerlang Vinales hadir ketika perlumbaan GP Emilia Romagna di mana dia muncul sebagai juara. Namun empat perlumbaan seterusnya, pelumba kelahiran Sepanyol ini hanya menamatkan kedudukan di tempat kesembilan, kesepuluh, keempat dan ketujuh.

#4 Franco Morbidelli

Seorang lagi pelumba Petronas Yamaha SRT memasuki senarai enam pelumba yang menjadi pilihan untuk merangkul kejuaraan musim ini. Pelumba ini ialah Franco Morbidelli kelahiran Itali. Musim ini, dia telah memenangi perlumbaan sebanyak dua kali semasa perlumbaan GP San Marino dan terbaharu di GP Teruel. 

#5 Andrea Dovizioso

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso meraih satu kemenangan musim ini semasa saingan GP Austria. Kini berada di kedudukan kelima dunia dengan mengumpul 109 mata. Aksi terbaharunya di GP Teruel berkesudahan dengan tidak begitu baik iaitu di tempat ke-13 namun dua perlumbaan sebelum itu Dovizioso tamat di kelompok 10 teratas.

#6 Alex Rins

Prestasi semasa pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins sejak akhir-akhir ini amat mencuri tumpuan. Manakan tidaknya, dalam empat perlumbaan terakhirnya, Alex Rins berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali termasuk muncul juara pada saingan GP Aragon.

Featured Image: MotoGP

(Visited 20 times, 1 visits today)
Close