Written by 5:19 pm MotoGP, Permotoran

Yamaha Mahu Ganti Rossi Dengan Juara Dunia 3 Kali, Jorge Lorenzo

Pasukan Monster Energy Yamaha bercadang untuk menggantikan Valentino Rossi yang tidak dapat berlumba kerana positif Covid-19 dengan juara dunia MotoGP sebanyak tiga kali iaitu Jorge Lorenzo.

Sehingga kini, penglibatan Rossi bagi perlumbaan GP Eropah pada 6-8 November ini masih diragui. Pelumba yang terkenal dengan julukan The Doctor itu akan menjalani ujian Covid-19 dan perlu disahkan negatif 72 jam sebelum dibenarkan menghadirkan diri ke Litar Valencia.

Menurut Tuttorimotoweb, Yamaha terpaksa menurunkan pelumba pengganti sekiranya Rossi masih belum sembuh dan tidak dapat menyertai perlumbaan kali ini. Ianya berkait rapat dengan alasan penajaan dan perjanjian IRTA (International Road-Racing Teams Association).

Dan Lorenzo menjadi calon utama buat pasukan kilang berpangkalan di Jepun ini. Musim ini, bekas pelumba Repsol Honda ini merupakan pelumba ujian Yamaha. Dia menjadi pilihan yang lebih baik berbanding seorang lagi pelumba ujian mereka iaitu Katsuyuki Nakasuga.

Hal ini kerana kali terakhir pelumba Jepun tersebut tampil dalam saingan MotoGP pada tahun 2018 sedangkan Lorenzo pada tahun lepas di GP Valencia.

Untuk rekod, Rossi telah terlepas dua perlumbaan terakhir setelah disahkan positif Covid-19 namun Yamaha memutuskan untuk tidak meletakkan pelumba lain bagi menggantikannya.

Featured Image: Marc Marquez

(Visited 49 times, 1 visits today)
Close