Written by 4:24 pm Bola Sepak, Eropah

Seorang Penyokong Manchester United Mahu Gerrard Ganti Ole Gunnar Solksjaer

Selepas kekalahan kepada Arsenal tempoh hari, seorang penyokong Manchester United mahu pengurus, Ole Gunnar Solksjaer dipecat dan menggantikannya dengan legenda Liverpool, Steven Gerrard.

Ekoran berang dengan kekalahan tipis 0-1 di laman sendiri, Old Trafford, seorang penyokong Red Devils yang dikenali sebagai Brett menyampaikan idea gila tersebut dalam satu program bual bicara, baru-baru ini.

Baginya, Gerrard yang juga bekas kapten skuad kebangsaan England merupakan calon yang tepat untuk menggantikan Ole berdasarkan prestasi semasanya dalam mengemudi kelab Scotland, Rangers FC.

“Saya sanggup keluarkan duit simpanan dan dapatkan Steven Gerrard untuk menggantikan Ole.

“Dengar sini, kita bercakap soal duit. Lelaki itu mempunyai identiti dan tahu bagaimana untuk bermain. Dia boleh memotivasikan pemain. Ini tidak masuk akal.” katanya ketika bercakap bersama pengulas talkSPORT.

Mendengarkan idea gila tersebut, salah seorang pengulas, Alex Crook yang terkejut dengan cadangan itu segera membalas, “Ada dua isu di sini, pertamanya, saya tidak nampak Steven Gerrard yang berdarah Liverpool akan mengambil tugas tersebut.

“Keduanya, saya tidak kenal berapa ramai penyokong Manchester United akan menerima kehadirannya sebagai pengurus di Old Trafford. Saya tidak nampak ia boleh berlaku.” kata Alex kepada Brett.

Untuk rekod, Gerrard yang bermain bersama skuad senior Liverpool selama 17 tahun dilantik sebagai pengurus Rangers sekitar pertengahan tahun 2018. 

Di musim pertamanya, Gerrard mengemudi kelab tersebut menghuni tangga ke-2 Liga Premier Scotland, naib juara Piala Liga dan mara ke suku akhir Piala Scotland.

Sementara itu, Gerrard menampakkan prestasi yang lebih gah pada msyim ini bersama Rangers dengan belum mencatatkan sebarang kekalahan setakat 13 perlawanan saingan Liga Premier Scotland.

(Visited 44 times, 1 visits today)
Close