Written by 7:10 pm Bola Sepak, Malaysia

Piala Malaysia: 8 Fakta Menarik Menjelang Pertemuan Kedah vs Pahang

Saingan Piala Malaysia bakal menemui peminat bola sepak tempatan dan tumpuan utama pastinya terarah kepada pertembungan di antara Kedah dan Pahang. Manakan tidaknya, pertembungan di antara kedua-dua pasukan sering menyajikan aksi-aksi yang terbaik tanpa mengira kejohanan mana mereka bertemu. 

Kedah yang dibimbing oleh jurulatih muda berbakat, Aidil Sharin Sahak pastinya akan mempertaruhkan dua penyerang terbaiknya di hadapan iaitu Tchetche Kipre dan Kpah Sherman. Manakala Pahang di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh pula mempunyai duo serangan yang terdiri daripada Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos.

Perlawanan ini akan dilangsungkan di gelanggang rasmi Kedah, Stadium Darul Aman dengan sepak mula pada jam 9 malam esok dan berikut kami sajikan kepada anda 8 fakta menarik menjelang pertemuan di antara kedua-dua pasukan: 

#1 Kedah dan Pahang Seri Sebanyak 3 Kali

Tiga daripada lima pertembungan terakhir di antara Kedah dan Pahang berakhir dengan seri – dua daripadanya merupakan perlawanan separuh akhir pertama dan kedua saingan Piala Malaysia musim lepas di mana ianya berkesudahan dengan keputusan 8-8 secara ageragat.

#2 Rekod Buruk Pahang di Alor Setar

Pahang mempunyai masalah apabila bermain di Stadium Darul Aman. Untuk rekod, skuad Tok Gajah tidak pernah mengalahkan Kedah di tempat lawan dalam semua pertandingan sejak Ogos 2016.

#3 Kedah Cemerlang pasca PKP

Sejak kembali menyepak bola pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kedah menjadi antara pasukan yang cemerlang pada musim ini dengan merekodkan satu kekalahan dan ironinya pasukan yang menewaskannya adalah Pahang.

#4 Kedah ‘Kebal’ di Gelanggang Sendiri

Rekod Kedah di Stadium Darul Aman sememangnya menggerunkan pasukan-pasukan yang datang bertandang ke sana. Musim ini sahaja dalam saingan Liga Super, mereka menang kesemua empat perlawanan di laman sendiri selepas tewas kepada Terengganu FC 3-4 pada awal tahun ini.

#5 Pahang Mempunyai Rekod Buruk di ‘Away Games’

Dan Pahang pula sangat bergelut apabila bermain di tempat lawan pada musim ini. Anak-anak buah Dollah Salleh hanya menang satu daripada lima perlawanan di tempat lawan dalam saingan Liga Super musim ini.

#6 Kedah dan Piala Malaysia Berpisah Tiada

Kisah ‘percintaan’ Kedah dan Piala Malaysia amat romantis. Bagaikan tidak pernah berenggang dan dikecewakan, Kedah berjaya mara ke saingan separuh akhir sebanyak lima kali daripada enam kempen terakhir Piala Malaysia yang disertainya.

#7 Pahang Juga Tidak Kurang Hebatnya

Manakala Pahang pula hanya gagal mara ke saingan suku akhir sebanyak sekali daripada lapan penampilan terakhirnya dalam kempen Piala Malaysia iaitu pada tahun 2016.

#8 Pahang Perlu Berhati-Hati Dengan Kelibat Kipre & Kpah

Kedah menjaringkan 20 gol dalam saingan Liga Super. Dan duo penyerangnya, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman cukup tajam di hadapan gol dengan menyumbang 65% gol iaitu 13 daripada 20 gol yang dijaringkan oleh mereka musim ini.

Featured Image: Kedah FA

(Visited 452 times, 1 visits today)
Close