Written by 11:27 am Bola Sepak, Malaysia

Tak Salah Terima Dana Kerajaan Untuk Peringkat Awal Penswastaan

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail merasakan tidak salah untuk sesebuah kelab bola sepak menerima dana atau tajaan daripada kerajaan walaupun telah diswastakan.

Hal ini kerana pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini menyebabkan ekonomi tidak menentu dan menyukarkan setiap kelab untuk mencari pendapatan sendiri.

Justeru beliau dilihat tidak begitu bersetuju dengan kenyataan pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebelum ini yang menyatakan kelab-kelab bola sepak lain sekadar berpura-pura melakukan penswastaan.

“Bagi permulaan atau tempoh peralihan ini, saya rasa tak salah (terima dana kerajaan) terutama dengan keadaan COVID-19 dan ekonomi meruncing. Tidak banyak orang nak taja, tambahan pula sekarang ini penyokong tak boleh masuk stadium, pasukan tak dapat pendapatan.

“Sekarang pun mereka (kelab) sudah bergerak dari persatuan kepada kelab, ia sudah satu langkah yang baik dan selepas ini tentu ada perkara lebih positif supaya dana pasukan datang dari sumber lain, bukan dari kerajaan negeri.

“Kita tak boleh samakan semua pasukan macam JDT, pendapatan mereka lain. Kalau nak teruskan liga Malaysia ini, kita kena bertegas dan bertolak ansur,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Sementara itu, Jamal menggesa agar kelab-kelab bola sepak yang lain diberi ruang dan masa untuk berdikari serterusnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana daripada kerajaan dari semasa ke semasa.

“Setiap kelab ada cara mereka dan kita bagi masa untuk kelab ini menunjukkan bahawa mereka boleh jadi lebih baik daripada JDT. Tak ada pasukan yang nak jadi yang tidak terbaik.

“Mereka mahu tunjukkan mereka ada kemampuan, tapi berilah ruang. Contohnya, nak ada padang latihan atau stadium sendiri memerlukan masa dan belanja yang besar kerana untuk menguruskan pasukan saja perlukan RM20 juta setahun,” tambahnya lagi.

Featured Image: MFL

(Visited 28 times, 1 visits today)
Close