Written by 11:27 am Bola Sepak, Malaysia

AFC: Kelab Perlu Ada Perancangan Untuk Jana Pendapatan Sendiri

Kelab-kelab bola sepak di Malaysia perlu mempunyai perancangan jangka masa untuk menjana pendapatan sendiri sejajar dengan penswastaan yang akan bermula pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berpandangan tidak menjadi masalah untuk kelab-kelab bola sepak di Malaysia untuk menerima dana daripada kerajaan negeri buat masa ini.

Ini berikutan proses penswastaan baru sahaja diterapkan dan ditambah pula dengan situasi semasa seperti pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi yang melanda membataskan sesebuah kelab untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti bola sepak.

Datuk Windsor Paul John – Foto: FAM

“Penggunaan dana kerajaan negeri untuk bola sepak bukanlah satu keadaan yang terbaik kerana selepas penswastaan, pasukan perlu menjana pendapatan sendiri menerusi aktiviti bola sepak.

“Tetapi kita memahami kekangan yang timbul ketika ini, apatah lagi proses penswastaan ini adalah proses yang baru diterapkan. 

“Dengan situasi semasa COVID-19 juga, pasukan berdepan kesukaran untuk menjana pendapatan daripada aktiviti bola sepak.

“Cuma apa yang penting pasukan perlu ada perancangan untuk jangka masa panjang bagi menjana pendapatan supaya tidak lagi perlu bergantung kepada dana kerajaan negeri semata-mata.” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Sebelum ini pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim menganggap penswastaan di Malaysia hanyalah bersifat pura-pura kerana majoritinya masih menggunakan dana kerajaan negeri.

Tambah baginda lagi, ia memberi gambaran perubahan hanya berlaku di atas kertas dan tetapi amalan lama iaitu mengharapkan dana kerajaan negeri masih diteruskan.

Featured Image: AFC

(Visited 24 times, 1 visits today)
Close