Written by 5:14 pm Bola Sepak, Eropah, Malaysia

Minggu Ini Lawan Porto, Saya Akan Beritahu Jika Ada Berita Baik

Pasukan Portimonense SC yang diwakili oleh penyerang sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid akan bertemu gergasi Portugal, Porto FC bagi aksi ketujuh saingan Liga Primeira.

Safawi yang kini berlatih bersama skuad senior masih belum membuat debut bersama Portimonense SC. Malah namanya tidak memasuki senarai 18 pemain dalam dua aksi terdahulu ketika menentang Santa Clara dan Tondela.

Ketika ini pasukannya sedang giat berlatih untuk mengharungi perlawanan tersebut bagaimanapun Safawi mengakui belum mendapat sebarang makluman samada dia akan disertakan sekali oleh ketua jurulatih, Paulo Sergio.

“Sekarang ini kita tengah training untuk perlawanan seterusnya, kita belum dapat lagi siapa yang main atau tidak main,

“Jika ada apa-apa (sebarang) kemungkinan yang saya akan main bagitahu, sebab minggu ini kita akan lawan pasukan besar di sini iaitu Porto FC,

“Jadi (kepada) peminat-peminat di Malaysia saya harap bawa bersabar, jika ada sebarang berita baik, insya-Allah saya akan bagitahu di Instagram atau di mana-mana, 

“Insya-Allah untuk korang saya akan buat yang terbaik untuk pastikan korang gembira,” katanya ketika temu bual bersama Nadi Arena.

Porto FC menduduki tangga ke-4 Liga Primeira selepas enam perlawanan dengan mengutip 10 mata. Safawi mengakui Porto FC sebagai sebuah pasukan yang besar namun menurutnya, rakan sepasukannya di sana bersemangat tinggi untuk menghadapi perlawanan ini.

“Sekarang ni semangat tengah membara sebab minggu ni lawan Porto, mana tahu kita ada rezeki (boleh) menang dan kutip tiga mata.” kongsinya lagi.

Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung di gelanggang Porto FC iaitu Estadio do Dragao pada hari Isnin hadapan dengan sepak mula pada jam 1.30 pagi waktu Malaysia.

Featured Image: Portimonense SC

(Visited 37 times, 1 visits today)
Close