Written by 11:23 pm Bola Sepak, Malaysia

#SembangSukanz: Baddrol ‘Boss’ Helang Merah Antara 5 Perkara Menarik Ketika Menentang Pahang

Pasukan tuan rumah, Kedah mudah menumpaskan Pahang dengan keputusan 3-2 dalam aksi pusingan 16 saingan Piala Malaysia 2020 di Stadium Darul Aman.

Shakir Hamzah, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre mencatatkan nama selaku penjaring buat pasukan tuan rumah. Manakala dua gol pasukan Pahang pula disumbangkan oleh Muslim Ahmad dan Faizal Rani.

Berikut adalah lima perkara menarik yang kami dapati dalam perlawanan ini:

#1 Tiada ‘Man-Marking’ & Benteng Terlalu Rapuh

45 minit pertama menjadi satu tempoh yang memeritkan buat Pahang. Manakan tidaknya, pasukan tuan rumah dengan mudah ‘membuli’ mereka di atas padang dan berhasil menjaringkan tiga gol menerusi Shakir Hamzah, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.

Pahang perlu menyalahkan diri sendiri atas kebocoran tiga gol tersebut kerana tidak mengawal langsung ketiga-tiga pemain ini. Selain itu, benteng pertahanan mereka juga berterabur dan tiada seorang pun menjadi ketua (leader) untuk bersuara atau memimpin setiap kali diserang Kedah.

#2 Baddrol Bakhtiar Menjadi ‘Boss’ Helang Merah

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar memainkan peranan penting dalam mengemudi pasukannya pada malam ini. Kehadiran Amirul Hisyan yang bermain selaku pemain tengah bertahan (defensive midfielder) memberikan Badd lesen untuk bermain lebih ke atas untuk membantu serangan.

Selain mengawal dan merencana serangan, Badd terlibat dalam ketiga-tiga jaringan yang dihasilkan Kedah pada separuh masa pertama. Gol pertama hadir menerusi sepakan sudut olehnya manakala yang kedua pula hasil daripada hantaran jauhnya kepada Tchetche Kipre di sayap kanan. Dan gol ketiga pula hasil hantarannya kepada Faizat Ghazali yang kemudiannya mencari Tchetche Kipre di dalam kotak penalti.

#3 Gandingan Kpah & Kipre Terus Mengganas

Seperti kita ketahui sebelum ini, 65% gol yang dihasilkan oleh Kedah musim ini berpunca daripada gandingan duo penyerang prolifik Kpah Sherman dan Tchetche Kipre. Dan kecemerlangan mereka diteruskan pada aksi pertama saingan Piala Malaysia menentang Pahang pada malam ini.

Kita dapat melihat keserasian kedua-dua pemain ini membolehkan mereka dengan mudah ‘membuli’ barisan pertahanan Pahang terutamanya pada separuh masa pertama. Selain daripada memiliki keserasian yang baik, kedua-dua mereka mempunyai kelajuan dan naluri untuk menjaringkan gol yang tinggi.

#4 Dickson & Carlos, Apa Kau Buat?

Memang diakui Pahang tidak menampilkan permainan yang bagus dalam perlawanan ini. Namun dapat dilihat bahagian tengahnya yang diketuai oleh Azam Azih cuba untuk mengawal dan merencanakan serangan bagi mendapatkan gol. Tetapi yang paling bermasalah buat Pahang adalah barisan serangannya. Dickson dan Carlos hanya memberikan ancaman yang sedikit kepada penjaga gol Kedah, Azri Ghani. Paling merugikan Pahang ketika Dickson yang mendapat sepakan penalti tetapi hanya mensia-siakannya.

#5 Kebangkitan Pahang Tidak Mencukupi

Pahang menampilkan persembahan yang lebih baik pada separuh masa kedua. Mereka bermain dengan lebih tersusun, menguasai permainan dan meningkatkan asakan ke arah gol lawan. Hasilnya, Pahang berhasil mendapatkan dua gol. Bagaimanapun, ianya masih tidak mencukupi buat mereka untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan untuk mengikat Kedah dan melanjutkan permainan ke masa tambahan. 

Featured Image: MFL

(Visited 72 times, 1 visits today)
Close