Written by 12:01 am Bola Sepak, Eropah, Malaysia

Ketua Jurulatih Senaraikan Safawi Untuk Menentang Porto FC

Penyerang sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid dilaporkan disenaraikan ketua jurulatih, Paulo Sergio untuk menyertai skuad Portimonense SC untuk menentang Porto FC pada awal pagi isnin nanti (waktu Malaysia).

Perasaan gembira dan terharu tidak dapat disembunyikan Safawi setelah mendengar makluman itu lebih-lebih lagi kerja kerasnya semasa sesi latihan sejak tiba di bumi Portugal sekitar ogos lalu sudah mula mendapatkan hasil awal.

Perkhabaran penuh gembira itu dikongsikan Safawi melalui satu hantaran mesej menerusi aplikasi Whatsapp dan dilaporkan oleh Utusan Malaysia, sebentar tadi.

“Alhamdulillah dah tersenarai untuk ke Porto. Main atau tidak itu keputusan jurulatih.

“Sudah tentu saya terharu, perasaan amat gembira dapat menyertai pasukan utama menentang Porto. Insya-Allah saya akan bagi yang terbaik jika diturunkan.

“Dalam latihan saya sentiasa berikan yang terbaik, alhamdulillah akhirnya diberi kepercayaan,” kata penyerang berusia 23 tahun itu.

Untuk rekod, Porto yang terkenal di seluruh dunia sebagai salah sebuah pasukan gergasi di Portugal sedang menghuni tangga kelima Liga Primeira 2020/21 selepas enam perlawanan.

Sehubungan itu, dia mengharapkan semua peminat bola sepak tanah air untuk mendoakannya menjelang perlawanan yang akan berlangsung di tempat lawan iaitu Estadio do Dragao agar mendapat keputusan yang positif.

“Doakanlah yang terbaik untuk perlawanan menentang Porto,” katanya lagi.

Featured Image: Portimonense SC

(Visited 1,327 times, 1 visits today)
Close