Written by 12:13 pm Bola Sepak, Malaysia

Dickson Beri Bayangan Kekal di Malaysia, Mahu Sertai Pasukan Yang Mempunyai Fasiliti Baik

Selepas daripada aksi menentang Kedah pada pusingan ke-16 Piala Malaysia, Dickson Nwakaeme, 34 tahun, mengumumkan perlawanan tersebut menjadi penampilan terakhirnya bersama Pahang.

Namun ucapan selamat tinggal itu bukan bermakna dia bakal bersara dan penyerang yang terkenal dengan julukan Orang Besi itu menyatakan mahu terus bermain dalam saingan liga tempatan.

Bagaimanapun pasukan yang mahukan khidmat Dickson pada musim hadapan mestilah menyediakan fasiliti yang terbaik bagi memastikan dia dapat mengekalkan kecergasan dan membendung kecederaan sepanjang musim.

“Tiada yang kekal selamanya. Saya rasa ini masanya untuk melakukan perubahan dan beri peluang kepada pemain-pemain lain mencuba (bermain di Pahang).

“Bagi saya, umur hanyalah sekadar angka. Saya masih dalam keadaan baik tetapi (anda) tidak boleh bermain bola sepak selama-lamanya.

“Sekiranya saya masih ingin bermain, saya masih mahu bermain di Malaysia. Saya yakin (sepenuhnya). Saya sudah selesa di sini jadi tak perlu berpindah (ke tempat lain).

Keadaan di Pusat Latihan Selangor FA
Peralatan di Pusat Latihan Terengganu FC

“Jika saya mahu bermain, saya perlu bermain bersama pasukan yang bersedia dengan fasiliti (yang baik), kerana fasiliti ini dapat membendung saya daripada ditimpa kecederaan. Ia (juga) dapat membantu saya untuk bermain dengan lebih kerap.

“Pahang sedang ke arah itu (menyediakan fasiliti) sesuatu yang berlainan yang kita saksikan di Malaysia tetapi buat masa ini saya merasakan mereka belum bersedia (sepenuhnya) lagi.” katanya dalam satu video bersama Nadi Weekend.

Setakat ini, hanya beberapa pasukan sahaja yang mempunyai fasiliti-fasiliti dan kemudahan terbaik untuk para pemainnya melakukan latihan. Antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Terengganu FC dan beberapa lagi.

Manakala pasukan TRW Kelantan yang dibeli usahawan tempatan, Norizam Tukiman pula sedang dalam perancangan untuk membina pusat latihannya dalam masa terdekat.

Featured Image: Kedah FA

(Visited 71 times, 1 visits today)
Close