Written by 11:09 am MotoGP, Permotoran • One Comment

MotoGP: Baki Dua Perlumbaan Ini Saya Tak Sertai, Nantikan Tahun Depan!

Juara enam kali Kejuaraan Dunia MotoGP, Marc Marquez mengesahkan tidak akan menyertai baki dua perlumbaan MotoGP 2020 iaitu GP Valencia dan GP Portugal.

Ini kerana pelumba Repsol Honda Team yang berusia 27 tahun itu dinasihatkan untuk memberikan tumpuan kepada memulihkan kecederaan pada lengannya sehingga sembuh sepenuhnya.

Kecederaan itu menimpanya ketika perlumbaan pembukaan MotoGP iaitu GP Sepanyol di Litar Jerez pada julai lalu. 

“Saya tidak akan berlumba musim ini. Selepas pemeriksaan untuk melihat bagaimana keadaan lengan saya bersama doktor dan pasukan, kami telah mengambil keputusan untuk kembali berlumba pada tahun hadapan.” katanya menerusi laman sosialnya.

Kecederaan itu memaksanya untuk menjalani operasi pembedahan sebanyak dua kali. Selepas daripada pembedahan keduanya sekitar ogos lalu, Honda mengumumkan Marquez perlu berehat dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Malah pasukannya turut menjangkakan Marquez sempat untuk menyertai siri-siri akhir perlumbaan MotoGP 2020. Tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan, Marquez terpaksa melupakan sama sekali saingan musim ini.

Bagaimanapun, Marquez dilihat semakin pulih dan cergas dan dia dijangka kembali memberikan saingan pada tahun hadapan.

“Ini merupakan masa untuk pemulihan. Terima kasih atas sokongan yang diberikan. Tak sabar untuk kembali pada 2021.” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Marquez mula menyertai saingan perlumbaan motosikal kelas premier sejak tujuh tahun lalu dan dalam masa yang singkat pelumba kelahiran Sepanyol ini mendominasi saingan ini dengan memenangi kejuaraan dunia pada 2013, 2014, 2016, 2017, 2018 dan 2019.

Featured Image: Repsol Honda Team

(Visited 25 times, 1 visits today)
Close