Written by 2:54 pm Bola Sepak, Malaysia

Terkini: Piala Malaysia Dibatalkan, Terengganu FC Raih Tiket Piala AFC 2021

Saingan TM Piala Malaysia 2020 secara rasminya dibatalkan oleh pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL).

Keputusan itu dicapai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas yang diadakan pada hari ini setelah rayuan untuk meneruskan kejohanan tersebut ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

“MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan TM Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan.

“Ini kerana pembatalan ini terpaksa dilakukan di mana kita tidak boleh lagi menangguhkan kempen TM Piala Malaysia 2020 ke bulan yang lain kerana kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.

“Banyak polemik akan tercetus jika MFL mengambil pendekatan untuk melanjutkan tarikh TM Piala Malaysia di mana pasukan-pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan media.

Dalam makluman yang sama, Terengganu Football Club (Terengganu FC) yang menduduki tempat ketiga CIMB Liga Super 2020 dimaklumkan meraih tiket ke saingan Piala AFC 2021 secara automatik.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas juga memutuskan bahawa tempat ketiga CIMB Liga Super iaitu TFC akan mendapat slot Piala AFC 2021 selepas TM Piala Malaysia 2020 dibatalkan.” tambahnya lagi.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 20 times, 1 visits today)
Close