Artikel

Peminat Letak Harapan Terlalu Tinggi Terhadap Safawi – Bekas Penyerang Angers

Peminat di Malaysia bagaikan tidak berpijak di bumi nyata dan meletakkan harapan yang terlalu tinggi apabila mahu menyaksikan Safawi Rasid beraksi bersama Portimonense dalam masa terdekat.

Perlu disedari penyerang sayap kebangsaan itu bermain di salah sebuah liga terbaik di eropah dimana jurangnya terlalu besar berbanding saingan di liga tempatan.

Justeru, para peminat tempatan tidak perlu bersikap kurang matang dengan membanjiri ruang komen media sosial Portimonense bertanyakan bila Safawi akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Harapan terlalu tinggi diletakkan oleh peminat-peminat bola sepak Malaysia,”

“Salah satu jurang besar adalah (melibatkan) tahap kecergasan, jurangnya terlalu besar.”

“Mereka mungkin sedang melatih Safawi untuk mendapatkan tahap kecergasan tertinggi buat masa ini.”

“(Mahu) jadikannya lebih cergas kerana tak cukup (cergas) untuk pemain dari Malaysia bermain dalam Liga Portugal.” kata bekas penyerang Angers dan Pahang, Dickson Nwakaeme dalam rancangan Berbulu Dengan Burn.

Dickson ketika beraksi menentang Toulouse dalam saingan Ligue 1 2016/17 – Foto: Angers SCO

Sebagai seorang pemain yang pernah berkelana di Ligue 1, Dickson berkata Safawi perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri di sana.

Bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk, Safawi juga perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu melibatkan kehidupan peribadi dan karier bola sepaknya.

Safawi ketika beraksi bersama pasukan Portimonense B-23 – Foto: Portimonense SC

“Sangat banyak perkara yang perlu (Safawi) sesuaikan dirinya (di sana).” 

“Awak perlu menyesuaikan diri dengan cuaca, sesuaikan diri tanpa keluarga, tanpa rakan-rakan, tanpa rakan sepasukan yang sudah dikenali seperti di JDT, sesuaikan diri dengan makanan di sana,

“Dan yang paling penting adalah mencapai tahap kecergasan yang diperlukan, tahap yang diperlukan untuk awak diturunkan bermain,” 

“(Walaupun) awak mempunyai kebolehan teknikal yang baik, tetapi kecergasan (lebih penting). Ia akan mengambil masa,” jelas Dickson lagi.

Dickson ketika menentang FC Nantes dalam saingan Coupe de La Ligue – Foto: Angers SCO

Dickson dalam temubual berkenaan sempat berkongsi pengalamannya sewaktu bermain di liga eropah. 

Menurutnya, jurulatih akan memberikan kepercayaan untuk tampil dalam kesebelasan utama sekiranya menunjukkan kesungguhan dan tiada tanda-tanda ‘lembik’ semasa sesi latihan.

“Sesi latihan di sana sangat sukar, kadangkala lebih sukar berbanding semasa hari perlawanan dan temponya tinggi. Sekiranya jurulatih lihat perkara tersebut, anda akan mula diberikan peluang untuk bermain.” jelasnya.

Featured Image: Angers SCO & Portimonense SC

komen