Artikel

Kuala Lumpur Nafi Pancing Junior Eldstal, Mungkin Pasukan Lain

Skuad ibu kota, Kuala Lumpur menafikan memancing khidmat pemain kacukan Sweden-Malaysia, Junior Eldstal untuk menguatkan pasukan mereka, musim hadapan.

Penafian itu dibuat sendiri oleh pengurus pasukan, Hamidi Abu Bakar menerusi satu laporan oleh akhbar tempatan, Harian Metro.

Beliau akui Kuala Lumpur yang akan menyertai saingan Liga Super 2021 sedang mendapatkan beberapa pemain baharu.

Namun perkhabaran yang mengaitkan Eldstal akan menyertai pasukannya itu hanyalah bersifat sebagai khabar angin sahaja.

“Saya ada juga mendengar khabar angin yang mengaitkan pemain terbabit akan bersama Kuala Lumpur namun setakat ini dia tiada dalam perancangan kami.

“Sekarang ini, kami akan mengambil beberapa pemain baharu namun lebih bergantung kepada bajet yang akan dibentangkan nanti,” katanya.

Untuk makluman, pada awal november lalu, Eldstal diumumkan berpisah bersama kelabnya, Metropolitan Police FC ekoran telah mendapat kontrak profesional bersama pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, pasukan yang akan disertai oleh pemain yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dari tahun 2015 hingga 2018 ini kekal menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Featured Image: Instagram Junior Eldstal

komen