Artikel

Dominique Ucap ‘Good Bye’ TFC, Bangga Melihat 25,000 Penyokong ke Stadium

Jodoh penyerang skuad kebangsaan Mauritania, Dominique da Sylva bersama Terengganu Football Club (TFC) nampaknya hanya bertahan semusim sahaja.

Dominique meletakkan dirinya selaku penjaring ketiga terbanyak saingan CIMB Liga Super 2020 dengan rekod sembilan gol mengumumkan meninggalkan TFC menerusi laman sosialnya, sebentar tadi.

“Dengan dukacitanya saya mengucapkan selamat tinggal kepada para peminat tercinta dan keluarga baharu saya di TFC.

“Hitam dan Putih akan kekal di hati saya buat selama-lamanya, dan saya tidak akan melupakan masa berharga yang diluangkan bersama kamu di TFC.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua yang terlibat bersama TFC atau menyokong kami, staf-staf, para pemain dan penyokong, semua yang bekerja untuk pembangunan TFC sehingga mencapai ke tahap ini.” katanya dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya.

Baca: Penyerang TFC, Dominic Beri Penghormatan Kepada Pelakon Black Panther Sebelum ‘Kick-off’ Liga Super

Menerusi makluman yang sama, Dominique turut meluahkan perasaan bangganya melihat keterujaan penyokong turun memberikan sokongan kepada pasukan di stadium sebelum daripada pandemik Covid-19 melanda.

“Penyokong-penyokong sekalian, kamu sangat hebat. Saya telah bermain di pelbagai negara dan negara yang cukup teruja dengan bola sepak seperti Mesir, 

“Tetapi penyokong TFC, lebih daripada 25,000 (penyokong) memenuhi stadium untuk memberikan sokongan, masih membuatkan saya berasa bangga.” tambahnya lagi.

Penyerang berusia 31 tahun ini merupakan pemain yang diintai sendiri oleh ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain pada penghujung tahun lepas.

Ketika itu, Dominique sedang beraksi bersama pasukan Saigon FC dalam saingan Liga Vietnam.

Kehadirannya adalah untuk menggantikan bekas penyerang prolifik TFC, Tchetche Kipre yang membuat keputusan untuk berhijrah ke pasukan Kedah.

Pada mulanya, kalangan penyokong TFC tidak begitu yakin dengan susuk tubuh penyerang tinggi lampai dan berbadan sasa ini untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Tchetche tersebut.

Namun segala-galanya berubah selepas Dominique ‘mengamuk’ menjaringkan 4 gol ketika menentang Kedah di Stadium Darul Aman dalam saingan Liga Super pada mac lalu.

Selepas daripada itu, nama Dominique mula meniti di bibir penyokong-penyokong TFC sekaligus membuatkan mereka mula melupakan kelibat penyerang Ivory Coast, Tchetche Kipre.

Featured Image: Malaysian Football League

komen