Written by 8:34 am Bola Sepak, Malaysia

Selangor Batal Hasrat Ikat Penyerang Sayap, Mohamadou Sumareh

Selangor dikhabarkan membatalkan perancangannya untuk mendapatkan khidmat penyerang sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh untuk saingan musim hadapan.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menerusi satu laporan akhbar tempatan.

Jelasnya, Selangor membatalkan hasrat tersebut kerana mahu mendapatkan pemain yang setaraf atau lebih baik daripada pemain berusia 26 tahun kelahiran Gambia tersebut.

“Bukan kita mahu katakan yang Sumareh tidak bagus, dia pemain yang baik dan bertaraf kebangsaan. Tetapi dia tiada dalam perancangan kita untuk musim depan.

“Kita berfikir mungkin lebih baik kalau kita mencari pemain lain yang memiliki kualiti sama atau lebih baik berbanding Sumareh,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Baca: Benar! Sumareh Hanya Singgah di Thailand, Musim Depan Bakal Bermain Bersama Selangor

Sebelum ini, Sumareh dikatakan bakal menyertai skuad Red Giants selepas ditawarkan kontrak dengan gaji asas sekitar RM70,000 sebulan.

Malah satu tangkap layar perbualan untuk ‘memancing’ khidmat Sumareh oleh individu yang dikatakan sebagai Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner juga tular di laman sosial.

Ketika itu, jendela perpindahan Liga Malaysia tidak dibuka. Bagaimanapun, Sumareh telah bertindak menamatkan kontraknya bersama Pahang ekoran masalah pembayaran gaji.

Baca: Kekal Bersama Police Tero FC Lebih 6 Bulan, Mengapa Tidak?

Setelah beberapa ketika, Sumareh dikhabarkan telah diikat oleh pasukan berpangkalan di Liga Thailand, Police Tero FC sehingga ke penghujung musim ini.

Sehingga kini, tiada sebarang makluman pasukan manakah yang akan mengikat khidmat Sumareh bagi tahun 2021 namun dengan penarikan diri Selangor ia pastinya membuka laluan mudah untuk pasukan lain mendapatkan khidmat pemain naturalisasi kebangsaan ini.

Featured Image: Police Tero FC

(Visited 96 times, 1 visits today)
Close