Written by 3:43 pm Bola Sepak, Malaysia

Guna Stadium Kecil, Jana Keuntungan – Nasihat Bekas CEO PNB Kepada Kelab Bola Malaysia

Bermula saingan Liga Malaysia 2021, semua kelab bola sepak di dalam negara ini perlu diuruskan secara swasta. Sejauh manakah kesemua kelab bola sepak di dalam negara ini bersedia untuk menguruskannya secara swasta?

Persoalan yang lebih penting, bagaimanakah untuk menjalankan sesebuah kelab bola sepak seumpama sebuah entiti perniagaan dan pada masa yang sama memastikan ianya kekal lestari (sustainable) untuk jangka masa panjang.

Menjawab persoalan ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Abdul Rasheed berkongsikan lima ‘nasihat’ penting untuk setiap kelab bola sepak di Malaysia amalkan menerusi ciapan di akaun twitternya, hari ini:

#1 Menurunkan Kos Operasi (Lower Operating Cost)

Stadium yang digunakan oleh sebuah pasukan berpangkalan di Thailand, Port FC.

Buang segala perbelanjaan yang tidak perlu. Uruskan stadium yang kecil yang mampu dipenuhi oleh penyokong setiap minggu. Pastikan kos seminimum yang mungkin. Kelab-kelab di luar negara yang mencatatkan keuntungan mempunyai stadium yang kecil dan tidak bergantung dengan jualan tiket pada hari perlawanan (semata-mata). 

#2 Menjana Keuntungan (Revenue Driven)

Melabur dalam pembangunan pemain. Pendapatan terbesar bagi kelab-kelab kecil adalah (menerusi) penjualan pemain. Ini belum popular di Malaysia, pasaran perpindahan (pemain) belum cukup matang. Penjualan barangan kelab boleh menjana keuntungan tetapi ia tidak mendatangkan duit yang banyak melainkan anda kelab yang besar.

#3 Penajaan (Sponsorship)

Juara Liga Super Malaysia sebanyak tujuh kali, JDT mengumumkan penajaan baharu daripada sebuah syarikat antarabangsa.

Cari syarikat korporat untuk menjadi ‘tulang belakang’ bagi membolehkan anda terus beroperasi. Kata kuncinya adalah mengetahui berapa kos operasi tahunan dan cari penaja untuk membiayai kos ini. Jadi anda akan memperoleh pendapatan untuk membayar gaji dan lain-lain. Lebihan daripada kos ini laburkan kembali ke dalam kelab.

#4 Kerjasama (Partnership)

Pasukan amatur berpangkalan di negeri Terengganu, Kerteh FC mengadakan kerjasama dengan sebuah kelab di Sepanyol.

Mengadakan kerjasama dengan kelab-kelab besar di luar negara. Dapatkan nasihat daripada mereka mengenai pemain, latihan dan pertukaran pengetahuan. Tumpukan kepada apa yang boleh dibuat dan minta ‘tunjuk ajar’ daripada orang lain dalam bidang di luar kepakaran kita.

#5 Orang (People)

Kelab seharusnya diuruskan oleh golongan profesional yang memahami nilai bisnes dan pengkomersialan. Jadikan ia sebagai sebuah institusi.

Menurut Jalil, sekiranya kelima-lima prinsip ini diikuti oleh kelab-kelab bola sepak di Malaysia dan dapat menunjukkan rekod keuntungan, mereka boleh mempertimbangkan untuk menyenaraikannya di bursa saham menjawab kepada persoalan yang diutarakan oleh akaun Bahas Bola.

Untuk makluman, Jalil Rasheed merupakan CEO dan Presiden PNB – syarikat pengurusan dana terbesar negara – bermula dari oktober 2019 sehingga jun 2020. Perlantikan Jalil mencipta rekod tersendiri sebagai CEO dan Presiden termuda yang pernah dilantik iaitu pada umur 37 tahun dalam sejarah penubuhan PNB sejak tahun 1978.

(Visited 4,774 times, 2 visits today)
Close