Written by 3:30 pm Bola Sepak, Malaysia

Kajian: Penyokong Wanita Ke Stadium Bukan Kerana Mengikut ‘Boyfriend’ Atau Suami

Seringkali penyokong wanita yang hadir ke stadium semasa berlangsungnya sesebuah perlawanan bola sepak dikatakan hanya untuk menemani teman lelaki atau suami masing-masing.

Bagaimanapun, ternyata tanggapan tersebut tidak begitu tepat berdasarkan sebuah kajian yang dijalankan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Menurut pensyarah fakulti berkenaan, Mohd Sadek Mustafa berkata hasil kajian menunjukkan penyokong wanita ke stadium kerana ingin menonton aksi pemain bintang yang mereka sukai.

Dapatan itu turut disokong dengan beberapa peratusan kehadiran golongan wanita ke stadium hanya bersama rakan sejantina mereka. Difahamkan kajian tersebut dilakukan di tiga buah negeri dalam saingan Liga Malaysia, musim lalu. 

“Berdasarkan kajian yang kami buat di Selangor, Pahang dan Johor, purata penyokong wanita yang hadir ke stadium bagi tiga negeri itu adalah antara 30 hingga 35 peratus.

“Penyokong wanita datang ke stadium bukan hanya mengikut teman lelaki atau suami, sebaliknya mereka ini sebenarnya ingin menonton bintang bola sepak yang mereka sukai.

“Kira-kira 15 peratus datang bukan dengan teman lelaki, tetapi dengan rakan wanita mereka. Itu fenomena yang berlaku dalam industri bola sepak kita,” jelas pensyarah berkenaan seperti dipetik daripada Berita Harian.

Sementara itu, dapatan lain dalam kajian yang bertajuk Pengaruh Jenama Dalam Industri Bola Sepak itu turut mejelaskan minat daripada kalangan penyokong wanita dapat ‘menggemukkan’ kantung kewangan sesebuah kelab bola sepak.

Hal ini kerana golongan wanita tidak lokek untuk mengeluarkan wang daripada poketnya untuk membeli barangan-barangan eksklusif kelab. Lebih menarik, Mohd Sadek turut berkongsikan bahawa golongan wanita akan berbelanja lebih berbanding golongan lelaki.

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 133 times, 1 visits today)
Close