Artikel

Lee Tuck: TFC Nak Cuba ‘Ramuan’ Baharu, Saya Tiada Dalam Perancangan Mereka

Pemain tengah, Lee Tuck dengan nada hiba mengumumkan meninggalkan pasukannya, Terengganu Football Club (TFC). 

Pengumuman penuh mengejutkan itu dibuat menerusi laman sosial Instagram miliknya, pada hari ini.

Menurut Lee Tuck yang juga kapten pasukan berkata TFC berhasrat mencuba gandingan baharu untuk memastikan skuad kendalian Nafuzi Zain itu dapat tampil lebih maju ke hadapan.

Malang sekali apabila nama Lee Tuck tidak termasuk dalam perancangan baharu TFC tersebut untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC yang akan bermula pada tahun hadapan.

“Saya dengan dukacitanya mengumumkan perjalanan saya bersama pasukan telah tamat. Malangnya saya terpaksa berpisah dengan TFC” tulisnya memulakan bicara dalam hantaran di laman sosialnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bekerja bersama-sama saya pada masa lepas dan masa sekarang pengurusan, staf, pemain, jurulatih dan semua orang di belakang tabir yang telah membantu kelab dan diri saya.

“Saya sangat berbangga bekerja bersama-sama anda semua untuk mencapai sasaran bagi menjadikan kelab ini lebih baik.” tulis Lee Tuck lagi. 

https://twitter.com/FCTerengganu/status/1059447118979465216?s=20

Di penghujung hantaran tersebut Lee Tuck turut menyematkan tinta buat para penyokong dan rakyat Terengganu kerana meraikannya sejak dirinya tiba di bumi bertuah tersebut.

Untuk makluman, Lee Tuck telah beraksi bersama skuad pantai timur tersebut sejak daripada musim 2018.

Dia dibawa masuk oleh bekas jurulatih, Irfan Bakti pada penghujung tahun 2017 daripada pasukan Negeri Sembilan.

Antara pencapaian terbaik pemain berusia 32 tahun ini bersama TFC adalah naib juara Piala Malaysia 2018 dan meraih tempat ketiga Liga Super 2020.

Menjadi persoalan pada masa ini adalah kemana hala tuju pemain kelahiran Halifax, England yang pernah merangkul Anugerah Pemain Paling Popular ABK18 ini setelah mengumumkan meninggalkan TFC. 

Sama-sama kita nantikan!

Featured Image: Terengganu Football Club

komen