Written by 6:36 pm Uncategorized • One Comment

Usia Bukan Penghalang, Cheng Hoe ‘Setuju’ Naturalisasikan Lee Tuck & Cabrera

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tiada masalah sekiranya Lee Tuck dan Gonzalo Cabrera dinaturalisasikan walaupun usia mereka bakal menjengah 33 tahun dan 32 tahun pada tahun hadapan.

Bagi jurulatih kelahiran Kedah tersebut, apa yang penting adalah prestasi semasa dan kualiti yang boleh disumbangkan oleh pemain-pemain tersebut apabila beraksi bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, Cheng Hoe menyerahkan kepada tuan empunya badan samada Lee Tuck dan Cabrera mahu melepaskan atau tidak kerakyatan sedia ada dan menjadi warganegara Malaysia untuk tampil menyarung jersi Harimau Malaya.

“Kalau kita lihat pemain naturalisasi di mana-mana negara pun adalah sementara sahaja, yang mana matlamatnya untuk menguatkan pasukan. Tapi untuk jangka masa panjang, kita masih memerlukan bakat anak tempatan juga.

“Kalau pemain itu nampak lebih baik daripada pemain tempatan kita akan bagi mereka peluang. Sudah tentu usia satu faktor besar juga, tapi kadang-kadang terpulang kepada individu itu sendiri.

Baca: Contohi Sifat Mulia Zlatan, Belanja Rakan-Rakan PS5

“Seperti Zlatan Ibrahimovic (39 tahun) masih berbisa bersama AC Milan, dan Cristiano Ronaldo, walaupun sudah berusia 35 tahun tapi masih lagi menjadi penyerang yang berbahaya.

“Namun kita perlu lihat juga sama ada mereka (Lee Tuck dan Cabrera) mahu mewakili pasukan kebangsaan atau tidak. Tidak dinafikan Cabrera beraksi dengan baik bersama JDT dan Lee Tuck bersama TFC,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Untuk membolehkan mana-mana pemain dinaturalisasikan, undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggariskan pemain tersebut mestilah beraksi dalam saingan tempatan negara tersebut selama lima tahun berturut-turut.

Selain itu, pemain tersebut mestilah tidak pernah membuat penampilan rasmi dalam mana-mana kejohanan bersama pasukan negara kelahirannya atau mana-mana pasukan lain yang mempunyai kaitan blood-heritage dengannya.

Untuk makluman, bekas kapten Terengganu Football Club (TFC) yang berpengaruh besar, Lee Tuck mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia bermula tahun 2017.

Cabrera juga menjejakkan kaki dalam saingan Liga Malaysia bermula tahun 2017 bersama Johor Darul  Ta’zim (JDT) sebagai penyerang sayap kiri lincah.

Kedua-dua pemain ini telah membina reputasi antara pemain terbaik dalam saingan Liga Malaysia sejak akhir-akhir ini. Dan Tahun 2021 menyaksikan kedua-dua pemain ini akan genap lima tahun beraksi dalam saingan tempatan.

Featured Image: Terengganu FC & JOHOR Southern Tigers

(Visited 136 times, 1 visits today)
Close