Written by 5:52 pm Bola Sepak, Malaysia • One Comment

TFC II Turut Dirombak, Dua Pemain Import Tidak Dilanjut Kontrak

Selain merombak pasukan utama Terengganu Football Club (TFC) menjelang saingan baharu tahun 2021, pasukan simpanan TFC II turut tidak terkecuali dirombak oleh pihak pengurusan.

Antara rombakan awal yang dibuat terhadap pasukan ‘adik’ yang beraksi dalam saingan Liga Premier adalah tidak melanjutkan kontrak dua pemain importnya.

Menurut laporan akhbar tempatan, dua pemain import tersebut adalah penyerang dan kapten pasukan, Bruno Suzuki serta pemain tengah Dechi Marcel.

“Buat Suzuki dan Marcel, terima kasih atas kerjasama dan khidmat bersama pasukan sebelum ini, semoga pemain berkenaan mendapat tawaran daripada pasukan lain musim depan,” kata Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC, Mohd Sabri Abas seperti dipetik daripada Harian Metro.

Manakala baki dua pemain import yang kekal adalah pertahanan Argzim Redzovic dan penyerang Jordan Mintah untuk terus menyarung jersi Hitam Putih.

“Argzim yang masih berbaki setahun lagi kontrak memperagakan aksi meyakinkan di barisan pertahanan termasuk membantu pasukan Terengganu FC (TFC) layak ke Piala AFC musim depan.

“Begitu juga dengan Mintah yang berjaya menarik perhatian pihak pengurusan untuk mengekalkan pemain kelahiran Ghana itu, harapan kita agar dua pemain itu mampu beraksi lebih baik musim depan.” katanya lagi.

Saat ini, skuad berpangkalan di pantai timur ini sedang meneliti beberapa pemain tempatan dan import untuk direkrut bagi memperkuatkan pasukan pada musim hadapan.

Untuk rekod, TFC II yang dibimbing oleh Roshadi Wahab menamatkan saingan Liga Premier 2020 selaku naib juara dengan kutipan 22 mata dibelakang juara, Pulau Pinang.

(Visited 216 times, 1 visits today)
Close