Written by 4:14 pm Bola Sepak, Malaysia

AirAsia, CIMB Tarik Diri Taja Liga Malaysia 2021

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan syarikat penerbangan, AirAsia dan kumpulan perbankan CIMB tidak meneruskan penajaan bagi saingan Liga Malaysia 2021.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan menerusi satu kenyataan rasmi, pada hari ini.

“AirAsia telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak melanjutkan penajaan bersama MFL bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

“Sementara CIMB, MFL telah mengadakan pertemuan dengan mereka pada tiga hari lalu dan menyatakan hajat yang sama di mana pihak kami kini menunggu surat secara rasmi daripada CIMB yang tidak mahu melanjutkan penajaan bagi musim depan.” katanya.

Untuk makluman, CIMB dan MFL memeterai perjanjian kerjasama selama dua musim pada awal tahun sekaligus meletakkan jenama kumpulan perbankan tersebut sebagai ‘Title Sponsor’ untuk saingan Liga Super 2020 dan bank rasmi bagi semua kejohanan di bawah seliaan MFL.

Manakala AirAsia pula menandatangani kerjasama bersama MFL pada tahun 2019 sebagai rakan penerbangan rasmi eksklusif Liga Malaysia untuk musim 2019 dan 2020.

“Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik COVID-19 sebelum ini,” tambahnya lagi.

(Visited 65 times, 1 visits today)
Close