Written by 5:36 pm Bola Sepak, Eropah, Malaysia

Menteri Belia & Sukan Tanya, Arsenal Tak Main EPL Ka?

Kejayaan pasukan berpangkalan di utara London, Tottenham Hotspur menduduki tangga pertama saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 10 perlawanan menggembirakan para penyokongnya termasuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Spurs berjaya melonjak ke puncak setelah berhasil mengikat Chelsea tanpa jaringan dalam perlawanan yang berlangsung pada malam tadi. Ia turut dibantu dengan juara bertahan, Liverpool yang keciciran mata disamping Southampton yang tumpas di tangan Manchester United.

Reezal sememangnya diketahui oleh ramai peminat bola sepak di Malaysia merupakan penyokong tegar Spurs sejak dahulu lagi. Kegembiraan Spurs merampas kedudukan No.1 carta liga itu dikongsikan menerusi satu kemaskini di laman sosialnya, pada hari ini.

“Terima kasih Chelsea. Cubaan yang cukup sengit. Tidak lupa terima kasih buat Man Utd.

“Kami kini di atas Liverpool. Kami gerak dulu. Tahun ini menjadi tahun (kami). Ayuh.” tulis Ahli Parlimen Kepala Batas itu sambil mengepilkan satu tangkap layar carta kedudukan semasa EPL.

Tangkap layar daripada Facebook milik YB Reezal Merican Naina Merican

Dalam hantaran yang sama, sempat juga Reezal membuat sindiran pedas kepada peminat kelab lawan setempat kepada Spurs iaitu Arsenal yang tidak kelihatan dalam tangkap layar yang dikepilkannya.

“Arsenal tak main EPL ka?” tanya Reezal secara sinis kepada penyokong kelab yang kini menghuni tangga ke-14 liga inggeris tersebut.

Baca: Menteri Cadang ‘Sport Bubble’ Supaya Liga & Kejohanan Sukan Berjalan Pada 2021

Pastinya lontaran soalan itu memanaskan telinga penyokong-penyokong Gunners lebih-lebih lagi Arsenal mencatatkan kekalahan 2-1 di tangan Wolverhampton Wanderers, awal pagi tadi.

Untuk rekod, Tottenham Hotspur tidak pernah memenangi saingan EPL sejak ianya bermula pada musim 1992/93. Kedudukan terbaik yang pernah dicapai mereka adalah naib juara pada musim 2016/17.

Featured Image: Reezal Merican Naina Merican

(Visited 4,354 times, 1 visits today)
Close