Artikel

King Gobal Diberi Kontrak Selama 2 Tahun Latih Skuad Kebangsaan Brunei

Bekas pengendali negara, Datuk K. Rajagobal disahkan dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei Darussalam untuk tempoh dua tahun.

Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) dan dilaporkan oleh media Brunei, semalam.

“Selepas beberapa minggu membuat penilaian dalam permohonan bagi jawatan ketua jurulatih Pasukan Kebangsaan Brunei Darussalam, Jawatankuasa Eksekutif NFABD ingin memaklumkan bahawa NFABD telah melantik K Rajagobal dari Malaysia sebagai ketua jurulatih baharu bagi Pasukan Kebangsaan Brunei Darussalam bagi tempoh dua tahun.”

“Ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Keputusan dibuat berdasarkan beberapa siri dialog setelah mempertimbangkan aspek teknikal dan kewangan.” kata Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin Pengiran Haji Matassan.

Baca: Autobiografi “SAYA RAJAGOBAL” Bakal Menemui Pembaca Hujung Tahun 2020

Difahamkan, Brunei turut menerima permohonan daripada jurulatih dari eropah seperti Jerman, Serbia dan beberapa orang dari rantau ini.

Bagaimanapun, jurulatih yang digelar King Gobal itu menjadi pilihan mereka untuk memacu pemain kebangsaan mereka di peringkat antarabangsa dan kejohanan serantau seperti Piala AFF.

Untuk rekod, Rajagobal merupakan satu-satunya jurulatih yang pernah membawa Malaysia menjuarai kejohanan Piala AFF sejak ia dipertandingkan pada 1996.

Featured Image: FAM

komen