Artikel

Pemain Kacukan Belanda-Indonesia Tiada Dalam Perancangan Kedah

Pemain kacukan Belanda-Indonesia, Stefano Lilipaly nampaknya tiada dalam perancangan pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah.

Kebelakangan ini pemain tengah menyerang yang beraksi bersama Bali United itu kuat dikaitkan dengan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak bagi mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2021.

Penafian Lilipaly ke Kedah itu disahkan sendiri oleh satu sumber dalaman pasukan dan dilaporkan oleh akhbar tempatan, pada hari ini.

“Memang nama Lilipaly hangat disebut-sebut di media sosial ketika ini, namun setakat ini pemain berusia 30 tahun itu tidak ada dalam perancangan pasukan untuk musim depan.” katanya seperti dipetik daripada Utusan Malaysia.

Selain daripada posisi tengah menyerang, Lilipaly yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Belanda Bawah 17 Tahun (B-17) juga boleh beraksi di posisi sayap.

Ia pastinya pengganti yang sesuai kepada pemergian pemain import kuota Asia, Amin Nazari dan juga penyerang sayap tempatan Hadin Azman yang telah diumumkan dilepaskan oleh Kedah.

Foto: Selangor FC

Bagaimanapun, menurut sumber tersebut, Kedah sudah mempunyai calon bagi mengisi kelompongan itu dengan seorang pemain tempatan yang merupakan bekas pemain pasukan tersebut suatu masa dahulu iaitu Syazwan Zainon.

“Begitu pun cakap-cakap yang mengaitkan Syazwan Zainon dengan Kedah memang betul. Kehadiran Syazwan dilihat mampu mengukuhkan pasukan musim depan,” katanya lagi.

Untuk makluman, pemain sayap lincah kelahiran Perlis Indera Kayangan itu pernah beraksi bersama Kedah selama empat musim bermula tahun 2014 hingga 2018 sebelum berhijrah ke pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor pada tahun 2019.

Featured Image:  Bali United

komen