Artikel

Bruno Menjerit Minta Ole Tukarkan Fred Kerana Kutip Kad Kuning Tetapi Tak Dilayan

Dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada awal pagi tadi, pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes dilihat menjerit kepada pengurusnya, Ole Gunnar Solksjaer supaya mengeluarkan Fred.

Klip video pendek yang menunjukkan jeritan dan isyarat tangan yang dilakukan oleh Bruno kepada Ole untuk menukarkan pemain telah tular di media sosial.

Bruno menggesa Ole mengeluarkan Fred kerana pemain tengah Brazil itu telah dilayangkan kad kuning kerana menanduk pemain Paris Saint-Germain (PSG), Leandro Paredes pada minit ke-23.

Layangan kad kuning itu turut menjadi pertikaian ramai peminat bola sepak di mana majoriti melihat tindakan yang dilakukan Fred sepatutnya dilayangkan kad merah namun dia terselamat.

Gesaan itu dibuat Bruno bagi mengelakkan skuad Red Devils terpaksa bermain dengan 10 pemain sekiranya Fred mengutip kad kuning kali kedua dan dilayangkan kad merah.

Tambahan pula, pada ketika ini Ole boleh melakukan lima pertukaran pemain dalam saingan UCL. Namun gesaan itu langsung tidak dilayan oleh pengurus berbangsa Norway tersebut.

Perkara yang ditakuti oleh Bruno akhirnya menjadi realiti apabila bentesan kurang cermat yang dilakukan oleh Fred menyebabkan pengadil terus melayangkan kad kuning kedua dan disusuli kad merah pada minit ke-70.

Ia menyebabkan United terpaksa bermain dengan 10 orang pemain dan lebih menyedihkan pada ketika itu mereka ketinggalan 2-1 kepada PSG hasil jaringan Neymar (6’) dan Marquinhos (69’).

Ole hanya bertindak membuat pertukaran pemain selepas daripada itu di mana dia memasukkan Paul Pogba (74’), Donny van de Beek, Mason Greenwood (79’) dan Odion Ighalo (90’).

Bagaimanapun percaturan lewat Ole tidak dapat membantu Red Devils bangkit untuk menyamakan kedudukan ataupun mencatatkan kemenangan malahan terpaksa akur tumpas 3-1 apabila Neymar menjaringkan satu lagi gol pada masa kecederaan.

Anda boleh menonton highlights perlawanan di antara Manchester United menentang PSG pada pautan video di bawah:

Featured Image: Manchester United

komen