Written by 6:18 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

David da Silva Penyerang Pakej Lengkap – Pemerhati Bola Sepak Indonesia

Sejak jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka pada 21 november lalu, pelbagai nama pemain dari luar negara digosipkan untuk ditandatangani oleh kelab-kelab yang berpangkalan Di tanah air sebagai persiapan untuk mengharungi saingan musim hadapan.

Menariknya pada jendela perpindahan kali ini, beberapa pemain yang beraksi di negara jiran tetangga iaitu Liga 1 Indonesia menjadi buruan pasukan-pasukan Liga Malaysia.

Mengapakah? Difahamkan, perkara ini mempunyai kaitan dengan ketidaktentuan penganjuran saingan Liga 1 2020 ekoran pandemik Covid-19.

Pihak penganjur liga mereka, PT Liga Indonesia Baru (LIB) hanya mengeluarkan keputusan mengenai saingan musim 2020 pada bulan lalu. Ia bakal dijalankan bermula februari sehingga julai 2021 Dan bakal digelarkan sebagai Liga 1 Tahun 2020/2021.

Keputusan lewat daripada pengajur telah menyebabkan beberapa pemain kalangan tempatan dan import resah apabila tidak dapat beraksi sejak 10 bulan yang lalu.

Kini, majoriti pemain mula memburu ‘minit permainan’ dengan mengintai peluang untuk beraksi di negara yang meneruskan saingan liga masing-masing seperti Thailand, Malaysia, Filipina dan Singapura.

Perkara ini turut diungkapkan sendiri oleh seorang penyerang Liga 1 iaitu David da Silva setelah mengumumkan mengundurkan diri daripada kelabnya, Persebaya Surabaya secara rasmi, semalam.

Hala tujunya selepas ini masih menjadi tanda tanya tetapi penyerang kelahiran Brazil cukup kuat digosipkan bakal menyertai pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air iaitu Terengganu Football Club (TFC).

David da Silva Si Penyerang Berpakej Lengkap

David da Silva

Bercerita mengenai penyerang utama skuad Bajol Ijo bernama David Aparecido da Silva yang berusia 31 tahun ini, Sukanz berkesempatan menemu bual seorang pemerhati dan bekas penulis bola sepak di Indonesia, Aun Rahman untuk mendapatkan pandangannya.

Sejak beraksi dalam saingan Liga Indonesia bermula tahun 2018 bersama Persebaya, David boleh digambarkan sebagai penyerang dengan pakej serba lengkap daripada segi kebolehannya serta mempunyai kerajinan yang cukup baik di atas padang.

Ketajamannya di hadapan gol tidak perlu dipertikaikan lagi apabila dia meletakkan namanya selaku penjaring kedua terbanyak (20 gol) pada tahun 2018 dan penjaring ke-8 terbanyak (14 gol) pada musim 2019.

“Dia lebih kepada penyerang yang mempunyai pakej lengkap. (Kerap) turun ke bawah untuk mendapatkan bola. Bukan sahaja berkemampuan untuk menjaringkan gol tetapi dia juga boleh mencipta peluang gol.” jelas Aun memulakan bicara mengenai David.

“David juga boleh menyimpan bola dengan baik dan turun membantu barisan pertahanan apabila diperlukan. Mempunyai sikap yang rajin.” tambahnya lagi.

Di pentas Liga 1, David sangat dikenali dengan jaringan menerusi gerakan solonya menewaskan barisan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan deras mengalahkan penjaga gol apabila tiba di kotak penalti. Majoriti daripada 34 golnya hadir menerusi gaya ini.

Nampaknya penyerang ini tidak banyak bezanya dengan gaya permainan bekas dua orang penyerang TFC iaitu Tchetche Kipre Dan Dominique da Sylva.

Namun begitu, Aun berpandangan, untuk melihat David cemerlang di posisi penyerang tengah (centre forward), dia perlulah mendapat sokongan terbaik daripada pemain atau penyerang sayap yang laju.

Bersama Persebaya, David mendapat sokongan padu di kedua-dua belah sayap iaitu Osvaldo Haay (sebelum berhijrah ke Persija Jakarta) dan Irfan Jaya.

Bagaimanapun, Aun tidak menolak kemungkinan David ‘tidak menjadi’ bermain di Liga Malaysia memandangkan kedua-dua liga mempunyai beza yang ketara daripada segi corak permainannya.

Perkara ini sudah terjadi kepada Jonathan Bauman ketika bersama Kedah.

Mengapa Makan Konate Begitu Istimewa Di Indonesia?

Makan Konate

Selain daripada David, seorang lagi pemain daripada Liga 1 dan pasukan Persebaya Surabaya yang turut dikaitkan ke TFC ialah Makan Konate yang berusia 29 tahun.

Merupakan pemain skuad kebangsaan Mali bukanlah nama yang asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan terutamanya di negeri Terengganu di mana dia pernah beraksi bersama T-Team FC pada tahun 2016.

Bagaimanapun, bersama T-Team FC, pemain yang sinonim di posisi pemain tengah menyerang (attacking midfielder) bukanlah satu nama yang besar namun apabila kembali beraksi di Liga Indonesia, prestasi Konate ‘meletup’ pada tahun 2018 dengan meletakkan dirinya sebagai penjaring kedua terbanyak dengan rekod 20 gol.

Rekod jaringannya sedikit menurun pada musim 2019 dengan meledak 14 gol tetapi masih meletakkan dirinya selaku 10 Penjaring Terbanyak Liga 1 pada musim tersebut. Kecemerlangan Konate inilah menyebabkan Persebaya menandatangani Konate daripada Persebaya pada januari lalu.

Makan Konate ketika bersama Arema FC

Mengulas mengenai persembahannya yang begitu Istimewa dan mengagumkan di Indonesia, Aun berpandangan hal ini disebabkan gaya permainan dan fizikal yang dimiliki oleh Konate sangat ‘cocok’ dengan saingan Liga 1.

“Saya percaya bola sepak Indonesia lebih kepada fizikal daripada liga lain di negara ASEAN. Liga ini memerlukan lebih banyak larian dan lebih banyak perebutan bola. Konate menjadi istimewa kerana dia (bukan sahaja) merupakan seorang pemain perancang tetapi dia juga mempunyai kekuatan dan ketabahan.” jelas Aun.

Apa yang pasti, berdasarkan gaya permainan dan peranannya dia atas padang sebelum daripada ini, Konate pastinya menjadi pengganti kepada Sanjar Shaakhmedov sekiranya benar-benar diikat oleh TFC untuk mengharungi saingan musim depan.

Ia merupakan satu cabaran yang besar perlu diatasi oleh Konate disamping perlu membuatkan penyokong tegar TFC ‘melupakan’ kelibat penuh bersemangat pemain berasal dari Uzbekistan itu.

Difahamkan kontraknya bersama Persebaya Surabaya akan tamat pada penghujung bulan ini.

Sokong Pemain Indonesia Berkelana Di Luar Negara

Ryuji Utomo

Pada ketika beberapa pemain Liga 1 menjadi buruan beberapa pasukan Liga Malaysia dan liga-liga luar negara, Aun menyatakan sokongan penuh khususnya kepada pemain-pemain muda Indonesia untuk mengambil peluang untuk beraksi di luar negara sekiranya mendapat tawaran.

“Saya sokong pemain Indonesia berkelana di luar negara, sangat bagus untuk mereka, terutamanya kalangan pemain muda. Ia membuka peluang yang lebih besar buat mereka.

“Jika tidak membuka sebarang peluang pun, mereka boleh mencabar diri mereka sendiri di tempat orang.” tambah Aun lagi.

Sepertimana kita sedia maklum, pasukan yang mendapat promosi ke saingan Liga Super 2021, Penang FC telah memuktamadkan menandatangani pertahanan skuad kebangsaan Indonesia, Ryuji Utomo secara pinjaman daripada Persija Jakarta.

Selain daripada nama-nama di atas, beberapa nama lain yang turut digosipkan dengan penghijrahan ke Liga Malaysia ialah Stefano Lilipaly, Riko Simanjuntak, Hansamu Yama dan Marc Klok.

Featured Image: Persebaya Surabaya

(Visited 1,125 times, 1 visits today)
Close