Artikel

Sumareh Belum Raih Kesebelasan Utama Secara Tetap? Ini Pendapat Wartawan Thailand

Penyerang sayap, Mohamadou Sumareh secara rasminya diumumkan menyertai kelab berpangkalan di Thailand iaitu Police Tero FC pada awal september lalu.

Pemain naturalisasi skuad kebangsaan ini mengambil keputusan untuk berhijrah ke sana selepas menamatkan kontraknya secara sebelah pihak bersama bekas pasukannya, Pahang.

Tiga bulan sudah berlalu, Sumareh belum meraih kepercayaan ketua jurulatih, Rangsan Viwatchaichok untuk menempatkan dirinya selaku pemain kesebelasan utama skuad The Silver Shield Dragon.

Setakat ini, pemain kelahiran Gambia ini hanya tampil sebanyak dua kali, itupun sekadar sebagai pemain gantian dalam saingan Thai League 1.

Beri Masa Untuk Menyesuaikan Diri Dengan Pasukan & Liga Thailand

Foto: Police Tero FC

Menurut wartawan di Thailand, Offeris Wichitchote menyatakan tempoh tiga bulan Sumareh bersama Police Tero belum mencukupi buatnya untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama secara tetap.

Sumareh perlu memahami dengan sebaik-baiknya segala perancangan dan taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Rangsan Viwatchaichok.

Tambahan pula, ini merupakan kali pertama Sumareh beraksi di Liga luar daripada saingan bola sepak Malaysia sepanjang karier bola sepaknya.

“Saya merasakan dia memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri untuk bermain dengan taktik oleh ketua jurulatih Police Tero dan juga saingan Liga Thailand.” jelas Offeris ketika dihubungi oleh Sukanz.

Untuk makluman, gaya permainan bola sepak di Liga Thailand berbeza jika dibandingkan dengan saingan di Liga Malaysia. Di sana, gaya permainan kebanyakan pasukan-pasukan adalah bercorakkan sentuhan dan hantaran (tap and play).

Maka tidak menjadi kehairanan mengapa pemain berstatus pilihan utama Pahang dan skuad kebangsaan Harimau Malaya turut memerlukan masa untuk menyesuaikan diri serta meraih kepercayaan daripada ketua jurulatihnya.

Police Tero Punyai Import Hebat, Greg Houla & Marc Landry Babo

Foto: Pahang FA

Selain daripada diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang baharu, Sumareh juga perlu berdepan dengan persaingan tinggi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Umum tahu kemampuan kebolehan Sumareh untuk bermain sebagai pemain sayap (winger) atau penyerang sayap (forward) di bahagian kanan. Peranan ini sering dimainkannya ketika bersama Pahang.

Selain itu, Sumareh juga berkemampuan untuk bermain selaku penyerang tengah (centre forward) pernah ditunjukkan ketika bersama skuad kebangsaan semasa menentang Indonesia tahun lalu dan juga penyerang kedua (second striker)

Bagaimanapun, di kem Police Tero, posisi sayap kanan dan penyerang tengah telah diisi oleh dua pemain import yang hebat dan berpengalaman dalam saingan Liga Thailand.

Greg Houla – Foto: Police Tero FC

Di posisi sayap kanan ianya diisi oleh pemain Perancis berumur 32 tahun iaitu Greg Houla. Pemain ini telah mempunyai pengalaman beraksi di Liga Thailand selama tiga musim.

Sementara itu, di posisi penyerang tengah, ketua jurulatih lebih suka menurunkan penyerang Ivory Coast berusia 29 tahun, Marc Landry Babo. Untuk makluman, Babo telah beraksi dalam saingan bola sepak Thailand sejak tahun 2013.

Marc Landry Babo – Foto: Police Tero FC

“Ketika ini jurulatih lebih suka menurunkan (Greg) Houla berbanding Sumareh,” jelas Offeris lagi.

Semasa ditanyakan peluang untuk Sumareh bermain sebagai penyerang utama, Offeris menyatakan, “Saya rasa kena tunggu Babo cedera barulah Sumareh mempunyai peluang untuk bermain (di posisi tersebut).”

“Kerana Babo melakukan tugas dan pernanannya dengan baik dan dia mempunyai lebih pengalaman dalam saingan Liga Thailand,”

Sumareh ketika menentang Suphanburi FC

Untuk rekod, Sumareh meraih debutnya ketika menentang Suphanburi FC dalam saingan Thai League 1. Dalam perlawanan tersebut dia masuk sebagai pemain gantian sekitar minit ke-72.

Penampilan kali keduanya hadir juga sebagai pemain gantian ketika menentang Chiangrai United FC dengan permainan berbaki sekitar 12 minit permainan sahaja lagi.

Tiga perlawanan berikutnya, Sumareh langsung tidak diturunkan oleh ketua jurulatih ya termasuk dua daripadanya ketika beraksi dalam saingan liga kalah mati, Piala FA Thailand.

Featured Image: Police Tero FC

komen