Artikel

Asyraf Sedang Usahakan Transfermarkt Versi BM & Disertakan Nilai RM

Seminggu yang lalu, berlegar-legar di media sosial mengenai seorang rakyat Malaysia bernama Faqrul Asyraf telah dilantik sebagai Area Manager Malaysia bagi sebuah portal bola sepak yang terkenal iaitu Transfermarkt.

Portal berpangkalan di Jerman ini bukan suatu yang asing buat peminat bola sepak seluruh dunia. Ia sering menjadi rujukan para peminat untuk mengetahui latar belakang, maklumat, sejarah perpindahan dan statistik mana-mana pemain bola sepak.

Di Malaysia, portal ini pastinya sedang diakses oleh para peminat tegar bola sepak setiap hari selepas mendengar sebarang rumours (khabar angin) mengenai pemain-pemain luar negara yang akan menyertai pasukan kesayangan mereka.

Tambahan pula pada ketika ini jendela perpindahan (transfer window) sedang rancak dan hangat diikuti.

Latar Belakang Faqrul Asyraf, Anak Jati Kedah Darul Aman

Nama sebenarnya ialah Muhammad Faqrul Asyraf Bin Mohd Faizol dan lebih mesra disapa sebagai Asyraf. Berusia 25 tahun, dilahirkan dan dibesarkan di Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Asyraf mula berkecimpung dalam bidang media sukan bermula tahun 2016. Ketika itu dia dan bersama rakannya yang lain terlibat dalam menguruskan sebuah akaun laman sosial yang berkongsikan mengenai keputusan, statistik dan berita bola sepak dalam dan luar negara.

Selain itu, Asyraf juga bekerja sepenuh masa di sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Kedah sebagai Eksekutif Komunikasi Korporat.

Terlihat Iklan Jawatan Kosong Transfermarkt di Media Sosial

Jodoh Asyraf bersama portal Transfermarkt bermula dengan pihak mereka mengiklankan kekosongan jawatan selaku Area Manager untuk beberapa buah negara menerusi media sosial.

Difahamkan Transfermarkt mahu melebarkan sayap mereka untuk pasaran asia dan tiga buah negara iaitu Jepun, Indonesia dan termasuk juga tanah air kita, Malaysia menjadi sasaran.

“Jadi hantarlah curriculum vitae (cv) , tak sangka pula disenarai pendek sebab dengar kata ramai yang (hantar cv) dan terpilih untuk temu duga.” katanya ketika berkongsikan pengalamanannya kepada Sukanz.

Menurutnya, dia melalui dua fasa temu duga. Pada fasa pertama, Asyraf ditemu duga oleh dua orang wakil Transfermarkt masing-masing dari Portugal dan Jerman.

Pada fasa kedua pula, Asyraf perlu menghadapi Head of International Transfermarkt, Christian Schwarz dan Pengarah Urusan Transfermarkt, Thomas Lintz.

Soalan yang ditanya mereka sama sahaja seperti kebanyakan sesi temu duga apabila anda memohon kerja di Malaysia.

Antara soalan-soalan yang dikemukakan kepada Asyraf adalah pengalaman bekerja, kelemahan dan kekuatan, perancangan jangka masa panjang dan sebagainya. Malahan soalan yang dikemukakan semasa sesi temu duga fasa kedua adalah sama.

“Lepas tu, tak sangka pula terpilih (mengisi jawatan ini), sebab dikhabarkan kebanyakan (yang memohon) merupakan bekas-bekas wartawan.” kongsinya lagi.

Portal Transfermarkt Versi Bahasa Malaysia Sedang Diusahakan

Antara tugas-tugas yang dipikul oleh Asyraf selaku Area Manager adalah menghasilkan kandungan (content) secara harian seperti berita, mengemaskini galeri dan kuiz untuk memastikan engagement pengunjung dan pengguna portal Transfermarkt.

Berkongsikan kandungan yang dihasilkan ke akaun media sosial, menguruskan dan memastikan data-data yang disumbangkan oleh sukarelawan adalah berkualiti dan menyumbang kepakaran bersama kumpulan editorial Transfermarkt.

Tangkap layar laman sesawang Transfermarkt.my

Sementara itu, menurut makluman Asyraf, pihak Transfermarkt serius untuk membawa portal mereka memasuki pasaran negara kita.

Dia sedang mengusahakan laman sesawang di dalam versi Bahasa Malaysia (transfermarkt.my). Ianya turut disertakan dengan nilai matawang Ringgit Malaysia (RM) untuk nilai pasaran (market value) bagi setiap pemain.

Selain itu, akaun sosial media Transfermarkt bagi edisi Malaysia turut akan didaftarkan.

Memerlukan Penyumbang Data & Statistik Pemain-Pemain Liga Malaysia

Seperti kita sedia maklum, data dan maklumat mengenai pemain dari luar negara terutamanya di benua eropah dan amerika selatan selalunya tepat. Hal ini kerana di benua tersebut, ramai sukarelawan menjadi penyumbang data dan maklumat pemain-pemain di sana.

Disebabkan itu juga, Transfermarkt dapat menilai harga pasaran bagi setiap pemain dengan sepadan. Menurut Asyraf, dalam meletakkan nilai pasaran bagi seseorang pemain, pelbagai kriteria dinilai oleh Transfermarkt.

Antaranya, umur pemain, prestasi di kelab dan skuad kebangsaan, menjadi prospek pada masa hadapan atau tidak, reputasi pemain, penjenamaan dan beberapa kriteria lain lagi.

Bagi pemain-pemain dalam saingan Liga Malaysia, terutamanya kalangan pemain tempatan, maklumat ini kurang lengkap melainkan beberapa pemain yang sudah ternama.

Disebabkan perkara inilah, nilai pemain yang dipaparkan di laman transfermarkt melibatkan pemain-pemain tempat an kurang tepat.

Justeru, Asyraf mengajak kepada semua peminat yang menyimpan dan merekodkan data, statistik dan maklumat para pemain untuk bersama-sama dengannya untuk menyumbang kepada portal Transfermarkt.

Dengan sumbangan ramai, portal ini dapat mengemukan profail berserta maklumat lengkap setiap pemain sekaligus dapat mempromosikan pemain-pemain dan liga kita kepada peminat bola sepak antarabangsa.

komen